Wednesday 28 November 2012

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (3)

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (3)

7. Kedudukan Dan Jarak Antara Makmum Dengan Imam
Soalan:
Bagaimana kedudukan/jarak imam dan makmum dalam sembahyang berjemaah jika :
(i)  suami dengan isteri
(ii) sesama perempuan

Jawapan:
Jarak antara imam dengan makmum dalam solat berjemaah adalah sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat kita sekarang. Itulah yang terbaiknya.

Ulamak syafii menjelaskan jika imam berada di atas menara masjid manakala makmum pula berada dalam masjid solat tetap sah kerana keduanya masih berada dalam bangunan yang sama. Jika imam berada di dalam masjid, manakala makmum berada di luar masjid maka jarak antara imam dengan makmum jangan melebihi dari 300 hasta. Jika makmum menunaikan solatnya lebih dari jarak ini, maka hukum solatnya tidak sah.

Jika imam menunaikan solat jamaah dengan hanya seorang makmum, maka makmum hendaklah berdiri disebelah kanan imam kebelakang sedikit. iaitu jarak antara tumit imam dengan hujung jari kaki makmum ialah sekadar satu jengkal sahaja. Demikian yang disebut di dalam kitab syarah Muhadhdhab oleh imam An-Nawawi.

(i) Suami/isteri
Apabila suami menjadi imam manakala isterinya menjadi makmum, maka jarak antara imam dengan makmum dalam kes ini adalah seperti yang biasa kita lihat sekarang, cuma isteri hendaklah berdiri di sebelah kiri suaminya. Itu sahaja.

(ii) Sesama perempuan
Jarak imam dengan makmum dalam solat jamaah yang diimami oleh orang perempuan. sesetengahnya berpendapat imam perempuan berada dihadapan sedikit dari makmum.

Afdalnya menurut imam An-Nawawi di dalam Syarah Muhaddhabnya, imam perempuan hendaklah berdiri di tengah-tengah saf yang pertama, kemudian jarak antara saf demi saf adalah sebagaimana yang biasa kita lihat sekarang.


8. Hukum Solat Sunat Secara Berjamaah
Soalan:
Adakah benar kenyataan yang di buat oleh sesetengah ahli agama yang menyatakan 'tidak ada solat sunat yang dilakukan secara berjemaah'. Jika benar, bagaimana pula dengan solat terawih yang dilakukan secara berjemaah?

Adakah istilah masbu'/muafiq untuk solat sunat terawih jika dilakukan secara berjemaah?

Jawapan:
Solat sunat ini banyak bahagiannya, diantara solat sunat Rawatib yang dikerjakan secara sendirian ketika sebelum dan sesudah solat sunat Fardhu, solat Tahajjud, solat Dhuha dan lain-lain.

Begitu juga solat sunat ada dikerjakan secara berjamaah seperti solat sunat gerhana matahari dan gerhana bulan, solat sunat 'Aidil Fitri dan Aidil 'Adha, solat sunat Tarawih dan sebagainya.

Sebahagian ulama mengharuskan melakukan solat-solat sunat seperti solat hajat, tahajud, tasbih, dhuha dsb. secara berjemaah. Bagaimana pun ianya lebih afdhal dilakukan secara sendirian.

Mengenai solat Tarawih, sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah SAW solat sunat Tarawih boleh dikerjakan dengan sendirian ataupun secara berjamaah di masjid ataupun surau. Telah sepakat pendapat ulama bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah.

Rasulullah SAW pada mulanya mendirikan solat sunat Tarawih di Masjid Nabawi dengan berjamaah. Pada malam yang keduanya, baginda dapati sambutan begitu ramai daripada para sahabat, sehingga baginda merasa bimbang kalau umat Islam kelak menganggap solat Tarawih itu sebagai wajib. Ternyata benar pada malam ketiganya menjadi bertambah ramai para sahabat yang berhimpun di Masjid Nabawi untuk mengerjakan solat sunat Tarawih berjemaah bersama Rasulullah SAW. Tetapi Rasulullah tidak mahu hadir kerana bimbang umat Islam akan menganggap ibadah itu sebagai wajib, bukan kerana tidak mahu berjamaah.

Kemudian pada zaman Sayidina Umar Al Khattab, beliau menghimpun para sahabat yang solat berkelompok- kelompok dalam masjid menjadi satu jemaah. Namun perubahan yang dilakukan oleh Sayidina Umar ini tidaklah menimbulkan anggapan bahawa solat Tarawih ini menjadi wajib.

Begitu juga halnya jika kita terlambat datang untuk Tarawih sedangkan imam telah mengerjakan satu rakaat maka bolehlah kita masuk masbuq, jika kita ingin mengikutinya, dan boleh pula kita menunggu pada rakaat berikutnya. Kerana jumlah rakaat Terawih itu tidak terikat pada jumlah-jumlah tertentu dan boleh kita mengerjakannya menurut kemampuan kita. Wallahu 'Alam.

9. Solat Fardhu Berimamkan Orang Musafir Yang Solat Qasar
Soalan:
Sebelum mendirikan solat jamak dan qasar, ada seorang hamba Allah yang ingin mengerjakan solat berjemaah dengan saya;  Adakah solat sempurnanya sah (4 rakaat), dengan berimamkan saya (Solat 2 rakaat)?

Saya sedang mengerjakan solat Maghrib (mengikut Imam yang solat Tamam). Bolehkah saya melakukan solat jamak takdim (Isyak) apabila selesai mengerjakan solat maghrib tersebut?

Dan bolehkah saya berniat ingin menjamakkan solat jamak takdim ketika sebelum memberi salam. (terlupa untuk menjamakkan solat ketika berniat pada takbiratul ihram)?

Jawapan:
Sah hukumnya mengerjakan solat jamaah dengan dengan imam yang mengerjakan solat qasar. Tetapi setelah imam memberi salam anda hendaklah meyambung rakat solat yang masih berbaki.

Jika anda mengerjakan solat maghrib secara berjemaah dengan imam, anda dikehendaki mengikut segala perbuatan imam, kerana berdasarkan keterangan dari sebuah hadis yang sahih sesungguhnya imam itu dilantik untuk dikuti oleh makmum.

Setelah selesai mengerjakan solat maghrib bersama dengan imam, anda hendaklah mengerjakan pula solat isyak secara qasar sebanyak 2 rakaat dan disunatkan iqamat secara perlahan dan tidak mengganggu para jamaah lain. Bagaimanapun janganlah anda menunaikan solat isyak itu ditempat anda solat maghrib tadi sebaliknya berundur sedikit kebelakang dan setelah iqamat tunaikanlah solat isyak secara qasar 2 rakat.

Adalah sah berniat solat jamak taqdim sebelum memberi salam pada solat yang pertama, namun adalah lebih afdal kiranya ia berniat pada ketika takbiratulihram solat pertama.

1 comment: