Thursday 2 October 2014

Korban & Hukum Berkaitan

Zulhijjah & IdilAdha
- Korban &  Hukum Berkaitan -

KLIK FOTO UNTUK  BESARKAN

Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut  :

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

KLIK FOTO UNTUK  BESARKAN

KORBAN - POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sahih, iaitu :-

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" (Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN

TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG QURBAN

Majoriti ulama mengharuskannya mankala tegahan untuk mematahkan tulang hanya di dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi

Ertinya : Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan tulangnya. ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)

Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan Qurban.

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

QURBAN DI LUAR KAWASAN

Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.
Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain. Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.

GABUNG QURBAN DAN AQIQAH

Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :

Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.

Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah.
Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :

a). 1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

b). 1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan

c). 1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

 Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA.

UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN

Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah hadis

Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)

Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM

Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.
Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz.

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya :  "tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.

BINATANG YANG DIKONGSI

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau
Dalilnya dari hadis :

Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)

b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.

KONGSI PAHALA QURBAN

a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b) Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih:

Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.

SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?

Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan hadith :

Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.

Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya

Zaharuddin Abd Rahman
Sumber : http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/219-zulhijjah-a-idiladha-beberapa-isu-a-hukum.html

~~~~~~~~~

PUASA ARAFAH IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA ?
Sila ke pautan di bawah untuk penjelasan isu tersebut :

http://muamalatmurni.blogspot.com/2014/10/puasa-hari-arafah-ikut-mekah-atau.html

Maksud Haji Akbar

APAKAH HAJI AKBAR ?



Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab : "Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah (Ahkam al-Quran, Al-Jassas ).

Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.  Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya :

1. Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat.

2. Sayidina Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah.

3. Sebahagian ulama yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).


Zaharuddin Abd Rahman
Sumber : http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/219-zulhijjah-a-idiladha-beberapa-isu-a-hukum.html



PUASA ARAFAH IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA ?
Sila klik pautan di bawah untuk penjelasan isu tersebut :

Saturday 2 August 2014

Marhaban, Berselawat, Doa Dan Ucapan Hari Raya I'dilfitri

Marhaban
(Panduan)
Berselawat, Doa Dan Ucapan Hari Raya I'dilfitri

Teks Selawat Ziarah Hari Raya

Teks Doa Ziarah Hari Raya
Maksudnya :
“Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w yang semulia-mulia utusan dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah wahai Tuhan pentadbir seluruh keadaan Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi kedudukannya, dengan limpah dan kemurahanMu tukarkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dan berkatilah kami dan seluruh umat Islam dengan keberkatan bulan Syawal.

Ya Allah wahai Tuhan sebaik-baik tempat permohonan, perkenanlah permintaan kami dan kembalikan lagi peluang kepada kami bulan ini tahun demi tahun dan tahun-tahun seterusnya dan berkatilah Tuan rumah ini ………… dan seluruh ahli keluarganya dan panjangkanlah umur mereka dengan iman dan kurniakanlah kepada mereka rezeki yang halal dan jauhkanlah mereka daripada rezeki yang haram dengan rahmatMu wahai Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.

Selawat dan salam daripada Allah ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam”.

Teks Ucapan Bermaafan Ziarah Hari Raya
Alhamdulillah segala pujian khusus bagi Allah serta Selawat
dan Salam untuk baginda Nabi Muhammad SAW Utusan
Allah yang mulia. 
Syukur kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkah serta mempertemukan kita dengan Aidilfitri 
di bulan Syawal yang mulia ini.
Di kesempatan ini kami rombongan marhaban dan keluarga ingin memanjangkan ucapkan ;
Selamat Hari Raya Aidilfitri
 Disamping itu sekiranya di pihak kami mempunyai sebarang
dosa kesalahan dan kesilapan dari segi niat, tutur kata, tingkahlaku, dsb. yang menyinggung perasaan dan hati tuan/puan dan keluarga kami mohon ampun dan maaf
zahir batin awal dan akhir.
Begitu juga apa-apa yang termakan, terminum dan terpakai, dsb. oleh kami secara sengaja dan tidak, kami mohon dihalalkan.

Manakala dari pihak kami pula dengan rela hatinya  kami sedia memaafkan sebarang dosa kesalahan dan kesilapan tuan/puan terhadap kami sekeluarga.
Semoga dengan berkah Ramadhan & Syawal ini kita semua mendapat keampunan  dan balasan yang baik daripada Allah SWT, mendapat perlindunganNya, keselamatanNya, ditetapkan iman dan Islam, dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, murah rezeki serta diberi kebaikan hidup di dunia dan akhirat, InsyallahAMIN

Thursday 17 July 2014

Thursday 29 May 2014

SALAM YANG TIDAK PERLU (TIDAK WAJIB) DIJAWAB

 5 SALAM YANG TIDAK PERLU
(TIDAK WAJIB) DIJAWAB


Ijmak ulamak menghukumkan memberi salam sunat menjawabnya wajib, melainkan ;

1. Yang memberi salam bukan orang Islam
Tidak wajib jawab salam yang diberikan oleh orang bukan Islam. Jika syak (tidak pasti) yang memberi salam itu orang Islam atau bukan Islam memadai kita jawab “wa’alaikum” (dan keatas kamu).

2. Salam Imam dan orang-orang dalam solat berjemaah
Salam Imam atau ahli jemaah dalam solat berjemaah tidak wajib dijawab oleh makmum. Makmum yang menjawab salam imam atau jemaah lain maka batallah solatnya.

3. Memberi salam selepas berucap/bercakap
Tidak wajib menjawab salam yang diberi selepas seseorang itu berucap/bercakap. Jika hendak memberi salam hendaklah di awal lagi (permulaan) sebelum berucap. Beri salam dahulu barulah cakap.

Sabda nabi “Assalam qoblal kalam” – Ucapankan salam sebelum bercakap.

4. Bila salam dipermain-mainkan
Biasa kita dengar seperti memberi salam kepada orang perempuan seperti berkata “Assalamualaikum Tak Jawap Dosa”. Salam seperti ini tidak wajib kerana mempermain-mainkan salam.

5. Situasi yang tidak dibenarkan memberi salam
Seperti memberi salam kepada orang yang berada didalam tandas.


Petikan Ceramah Umum Maghrib Ustaz  Hassan Din Al-Hafiz, Masjid Jamik Yong Peng 6-2-14

Thursday 3 April 2014

7 Golongan Dilindungi Allah Pada Hari Kiamat

7 Golongan Yang Mendapat Naungan
Allah Pada Hari Kiamat
 
Matan hadis Rasulullah SAW :

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah SAW bersabda : Ada tujuh (7) golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya :

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan
    cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui
    tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No. 1031) )


Penerangan Hadis :

Di dalam hadis di atas baginda Rasulullah SAW menjelaskan tentang tujuh (7) golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat.  Mereka akan terhindar dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini :

1. Imam yang adil

Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima rasuah.

Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat berikut :

Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil

Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul Kahfi dalam firmanNya :

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (Al-Kahfi 18:13)


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid

Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.

Diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani.

Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah

Islam adalah agama yang berteraskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.

Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah.

Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata : “Aku takut kepada Allah”

Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah.

Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.

Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang dikenali dengan nama Zulaikha :

“Yusuf berkata : Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

Rasulullah SAW menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riya' dan takabbur.

Ini sebagaimana firman Allah :

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

Rasulullah SAW menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam atas dosa masa silam.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya :


“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.  (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Wednesday 15 January 2014

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT “Ummati, Ummati, Ummati”

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT
“Ummati, Ummati, Ummati” Semasa Hampir Wafat.

ISU:
Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi SAW ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.

Namun, perkataan “Ummati, ummati ...” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).

Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi SAW. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.

Adapun (hadis) yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.

Wallahu A’lam.

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/blog/dakwaan-kisah-nabi-saw-menyebut-ummati-ummati-ketika-hampir-wafat
Submitted by FatwaMalaysia on 10 December 2013 - 11:44am


KISAH SAHIH RIWAYAT DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH SAW
Sila   KLIK SINI