Tuesday 20 November 2012

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (2)

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (2)

4. Membaca Jahar (kuat) dan Sir (perlahan) dalam Solat
Soalan:
Mengapakah dalam solat berjamaah hanya waktu zohor dan asar sahaja makmum kena membaca surah sendiri, sedangkan tiga waktu yang lain itu makmum hanya membaca fatihah saja?

Jawapan:
Nabi pernah membolehkan para makmum membaca dalam solat bila imam mengeraskan bacaan. Ketika itu solat Subuh, bacaan sahabat mengganggu baginda. Selesai solat baginda bersabda: "Mungkin kamu membaca di belakang imam? Kami menjawab: "Betul, dengan bacaan yang cepat ya Rasulullah". Baginda bersabda: "Jangan kamu lakukan itu kecuali membaca al Fatihah, kerana solat tidak sah tanpa membacanya". (HR. Bukhari)

Kemudian baginda melarang semua bacaan pada solat jahar (bacaan kuat) iaitu setelah baginda mengerjakan solat jahar (Solat Subuh). Baginda bersabda: "Adakah di antara kamu tadi yang membaca bersama denganku ?".
Salah seorang sahabat menjawab: "Benar ya Rasulullah". Nabi bersabda: "Sekarang aku katakan, janganlah kamu menyaingiku".

Menurut Abu Hurairah semenjak mendengar itu mereka berhenti membaca bila Rasulullah mengeraskan bacaannya dalam solat. Mereka membaca berbisik bila imam mengeraskan bacaannya. Memusatkan perhatian terhadap bacaan imam oleh Rasulullah SAW dinyatakan sebagai suatu kesempurnaan mengikut imam. Rasulullah SAW bersabda: "Imam hanya untuk diikut, apabila ia takbir, takbirlah, apabila ia membaca perhatikanlah". (HR Abu Daud dan Muslim)

Mendengar bacaan imam, juga sudah cukup menjadi bacaan orang yang di belakang. Baginda bersabda: "Siapa yang mengikut imam, bacaan imam adalah bacaannya" (Riwayat Daruquthni dan Ibnu Majah). Ini dalam solat jahar (bacaan kuat) saja.

Untuk lebih jelas lagi kami ungkapkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Abu Daud. "Rasulullah SAW membaca ayat dengan suara jelas (jahar) dalam solat Subuh dan pada dua rakaat pertama pada solat Maghrib dan Isyak. Baginda bacanya dengan berbisik pada solat Zohor, Asar dan pada rakaat ketiga solat Maghrib serta dua rakaat terakhir pada solat Isyak. Para makmum mengetahui bahawa baginda membaca sir (perlahan) dari gerakan janggut baginda, dan kadang-kadang dari bacaan ayat yang baginda bacakan kepada mereka".

Sebagai makmum apabila imam membaca fatihah secara kuat (jahar) pada solat seperti solat subuh, maghrib dan isyak makmum hendaklah mendengar bacaan fatihah imamnya. Setelah ‘amin’ maka makmum hendaklah membaca fatihah secara perlahan (sir) untuk dirinya di mana ketika itu imam membaca surah.

Makmum boleh membaca fatihah berserta bacaan faithah imam secara perlahan (sir) ketika imam membaca fatihah secara kuat (jahar) tetapi jangan mendahului bacaan faithah imam. Yang lebih baik adalah mendengar fatihah imam seperti dinyatakan di atas.


5. Dua Imam Satu Surau
Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang dua imam (dua jemaah) dalam satu surau yang hanya dipisahkan oleh dinding, seandainya sembahyang tersebut ialah sembahyang fardhu yang dilakukan serentak?

Jawapan:
Mengerjakan solat dengan dua imam dalam satu surau dalam masa yang sama (serentak) hukumnya tidak boleh. Dalam masalah ini berdasarkan tentang adanya imam tetap dalam satu masjid/surau. Jika satu jamaah hadir disuatu masjid yang mempunyai imam tetap tetapi pada masa itu imam tersebut  tidak hadir, maka diperintahkan kepada mereka menghantarkan utusan menjemputnya hadir. Tetapi jika bimbang luput waktu solat, maka dibolehkan seorang yang lain tampil menjadi imam.

Kata Imam Nawawi, jika dibimbangkan timbul fitnah hendaklah mereka solat bersendirian dan diistihbabkan kepada mereka mengulangi solat bersama imam itu jika ia hadir. Jadi jelaslah jika tidak hadir saja imam tetap disuruh solat sendirian jika khuatir menimbulkan fitnah apakah lagi dengan sengaja membuat jemaah sendiri di belakang atau di sebelah imam yang sedang solat.

Seandainya kita orang yang datang kemudian, sedangkan di dalam surau atau masjid tersebut ada dua imam yang sedang berjemaah, maka dalam hal ini ada beberapa pendapat. Jika makmum dapati dua orang imam masing-masing sedang solat dengan jemaahnya, maka ikutilah imam yang tetap. Namun jika keduanya tidak termasuk imam yang tetap dan masing-masing sebaya dan memiliki ciri-ciri imam yang dikehendaki, cuma perbezaannya yang satu cepat bacaannya sedangkan yang satu lagi lambat. Menurut Al Faurani dalam kitab Al Ibanah "Hendaklah dilihat kepada makmum itu sendiri. Jika ia seorang yang lambat membaca maka hendaklah ia mengikut imam yang lambat membaca. Sebaliknya jika ia cepat membaca maka hendaklah ia mengikuti imam yang cepat membaca".

Imam Al Tarmizi telah menjelaskan dalam Al Sunah iaitu diistihbabkan kepada imam bertasbih enam kali dalam rukuk dan sujud supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali". Kemudian menurut Imam Syafi'e dalam kitab Al-Umm "Pada hemah saya eloklah setiap masa bagi imam menambahkan tasyahud, tasbih dan bacaan surah sekadar yang dilihatnya boleh memberi kesempatan kepada makmum yang berat lidahnya menyempurnakan bacaannya yang perlu dibaca olehnya."


6. Kanak-Kanak dalam Saf
Soalan:
Saya nak tahu tentang hukum kanak-kanak yang belum baligh sembahyang bersama dengan orang dewasa. Apa hukumnya, tolong jelaskan?

Jawapan:
Jika kita solat berjamaah sedangkan didalam saf tersebut terdapat kanak-kanak, maka solat kita tetap sah bahkan pahala berjamaah tetap tidak terjejas, cuma hanya berkurang dalam pahala saf. Jadi perkara yang tidak baik jika kita melarang kanak-kanak ikut bersama-sama orang tua berjamaah di masjid. Bahkan setengah masjid di tempat kita sengaja membuat pengumuman melarang kanak-kanak umur lima tahun masuk ke dalam masjid. Cara sebegini boleh mematikan minat anak untuk datang dan mencintai masjid. Padahal Rasulullah SAW pernah membawa cucu baginda ke dalam masjid ketika baginda menjadi imam. Ketika itu Hassan dan Hussein memanjat bahu baginda sehingga baginda melamakan sujudnya. Ini membuktikan bahawa Rasulullah begitu peka terhadap perkembangan agama kanak-kanak.

Barangkali masyarakat kita perlu merubah minda yang keliru dalam mendidik anak-anak mencintai masjid dan melatih mereka dalam solat. Jangan terlalu memperhatikan pahala saf sehingga minat anak-anak dikubur atau diabaikan. Wallahu A'lam.

No comments:

Post a Comment