Sunday 18 November 2012

Soal Jawab Solat Berjemaah

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah


1. Hukum Solat berjemaah di masjid
Soalan:
Apakah hukum solat berjemaah di masjid/surau/mussolla?

Jawapan:
Hukum Solat Berjemaah
1. Menurut mazhab Syafie, solat berjemaah itu adalah fardhu kifayah. Bukan wajib bagi setiap orang lelaki yang merdeka dan bermukim dan memadai (cukup) bagi sebilangan orang mengerjakannya dalam satu kampung atau kariah, melepaskan dosa yang lain. Tapi jika yang lain buat juga, maka bagi mereka masing-masing dapat pahala fardhu kifayah.

Manakala menurut Mazhab Hanbali solat berjemaah itu fardhu ain, wajib bagi setiap orang.

2. Sebahagian ulamak mazhab syafie berkata solat berjemaah itu bukan fardhu kifayah, tetapi sunat muakkad sahaja. Bahkan sangat dituntut tetapi bukanlah sampai menjadi dosa jika tidak dilakukan dalam satu kampung atau kariah. 

Namun yang dipegang oleh kebanyakan ulamak mazhab syafie ialah pada hukum fardhu kifayah( Pendapat yang asah daripada mazhab Al-Syafiiyah; Al-Majmu` 4/184-186, Fiqh Islami Wa Adillatuh, 2/150, Al-Zuhaili ).

Disebut Dalam kitab Sabilal Muhtadin, bahawa untuk terhasil fardhu kifayah mestilah solat jemaah itu nyata syiarnya. Memahami maksud ini, tidak memadai solat jemaah di rumah pada satu kampung atau kariah, untuk dikira sebagai memenuhi tuntutan fardhu kifayah. Untuk itu, dalam sesuatu kampung atau kariah mesti didirikan samada masjid atau surau agar dapat ditegakkan solat berjemaah. Agar dengan itu nyata syiar Islam bilamana ramai orang mendatangi masjid atau surau untuk mengerjakan solat berjemaah.



2. Imam Terlupa Tahiyat Awal
Soalan:
Apakah hukumnya jika seorang Imam itu yang sepatutnya duduk tahiyat awal tetapi dia terus bangun kerana terlupa? Apabila dia sudah tegak berdiri dia teringat dan terus duduk untuk tahiyat awal. Adakah batal sembahyang Imam tersebut?

Jawapan:
Jika imam terlupa duduk tahiyat awal dan dia terus berdiri. Seandainya berdirinya tersebut belum sempurna dan dia duduk kembali, maka dibolehkan berbuat demikian. Namun jika berdirinya telah sempurna maka imam perlu meneruskan solatnya hingga akhir dan boleh menggantikannya dengan sujud sahwi.


3. Bacaan Al-Fatihah Makmum dalam Solat Berjemaah
Soalan:
Kalau kita menjadi makmum sembahyang fardu, adakah kita perlu membaca Al-Fatihah semasa imam membaca surah. Dan kalau perlu, adakah sah sembahyang kita apabila kita tidak sempat habis membaca Al-Fatihah kerana imam membaca surah pendek. Kes ini adalah bukan kes makmum masbuk atau muafik?

Jawapan:
Mengikut pendapat jumhur ulamak termasuklah imam Asy-Syafi'i sendiri, membaca Al-Fatihah di dalam solat bagi makmum adalah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Ini bermakna tidak sah solat makmum itu jika ia berkesempatan membaca Al-Fatihah tetapi ditinggalkannya dengan sengaja.

Dalam sebuah hadis yang sahih Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada solat (tidak sah) bagi sesiapa yang tidak membaca Surah Al-Fatihah". 

Jika bacaan fatihah anda lambat dan imam pula agak pantas sehingga anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah,  dalam hal ini sekiranya imam telah rukuk dan anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum imam sujud kedua, maka hendaklah anda menghabiskanya. Sebaliknya, jika anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam di mana menurut imam Nawawi (ulamak Syafi'i) orang terlibat luput rakaat pertama dan ia dikehendaki menambah rakaat yang luput itu diakhir solatnya setelah imam memberi salam.

Berbeza dengan pendapat imam Abu Hanifah yang tidak mewajibkan makmum membaca surah Al-fatihah. - Jika anda membaca agak lambat dan imam pula agak pantas sehingga anda tidak sempat menghabiskan surah Al-Fatihah. Dalam hal ini sekiranya imam telah rukuk anda merasakan anda boleh menghabiskan surah Al-Fatihah sebelum imam sujud, maka hendaklah anda menghabiskanya. Sebaliknya, jika anda rasa tidak sempat berbuat demikian, maka anda hendaklah rukuk bersama imam kerana bacaan imam akan dikira sebagai bacaan makmum seperti juga kedudukannya orang yang masbuk. 

Ini kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan Rasulullah SAW pernah menjelaskan: imam itu dilantik untuk diikuti oleh makmum sekiranya ia rukuk maka hendaklah anda semua rukuk dan sekiranya ia sujud maka hendaklah anda semua sujud.

No comments:

Post a Comment