Kisah Muhammad bin Wasi'
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan
bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' telah menukilkan satu kisah tauladan yang
cukup menggugat jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi'. Muhammad bin Wasi' terkenal
sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam
barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan
kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.
Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi' di
hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan
panglima-panglimanya, 'Di tanganku ada segenggam
emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.
Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada
seseorang maka dia akan menolaknya?' Mereka menjawab: 'Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan
menolak pemberian emas ini.' Qutaibah berkata ; 'Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi
Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua.'
Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya
memanggil Muhammad bin Wasi' untuk menghadapnya. Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu
diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka
Muhammad bin Wasi' terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah
tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah
menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah memerintahkan
pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi' selepas beliau
keluar dari majlis itu.
Muhammad bin Wasi' membawa
emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir
miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita
ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin
Wasi' kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang
di sekelilingnya; 'Bukankah sudah aku katakan
kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang
menyamakan emas dengan tanah?'
Begitulah contoh seorang
insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi
nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan
menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan
mulutnya sentiasa basah dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan
bertasbih kepada Allah.
Ternyata
Muhammad bin Wasi' adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya.
Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di
jalan Allah.
Nabi saw telah bersabda,'Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang
musafir di dunia ini.'[Riwayat Bukhari dan Ahmad]
Kita mungkin akan dilihat
pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda
Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada
akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia
lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana
menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita
adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.