Wednesday 23 January 2013

SELAWAT KE ATAS NABI


SELAWAT KE ATAS NABI


Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan sebagai tanda kecintaan kepada Nabi SAW dan menjadi faktor utama untuk mendapat  syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak.  Sering kali kita dengar dalam khutbah Jumaat khatib selalau ada menyebut bahawa Allah Ta'ala  berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan". [Al-Ahzab: 56]

Makna Selawat
Tahukah anda apakah maksud selawat itu?  Selawat dalam bahasa Arab bererti doa atau pujian. Pengertianya boleh di kategorikan sebagai berikut ;

1). Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
2). Selawat malaikat pula ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
3). Selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Manakala makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan dari-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman."  [Al-Ahzab:43].

Hukum Berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya,  tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Bakhil Kerana Tidak  Selawat
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat". [HR: Tirmizi. Sahih].

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Selawat Paling Afdhal
Ayat Quran [Al-Ahzab: 56] di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

Antaranya diriwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.  Baginda menjawab dengan mengatakan ; “Katakanlah :
 Adalah logik untuk dikatakan selawat di atas sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

Dalam Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud(tahiyyat) akhir sebelum salam setiap solat.  Adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini diamalkan dalam membaca selawat kepada Nabi SAW, berbanding lafaz selawat yang dikarang atau susunan seseorang, walau pun tiada larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri.

Selawat Paling Ringkas
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih]
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.“

Demikianlah beberapa contoh selawat yang mudah untuk diamalkan.  Banyak lagi bentuk susunan selawat yang disebut dalm hadis-hadis sahih yang boleh dirujuk dalam kitab-kitab muktabar dan alim ulama.

Waktu/Tempat Terbaik Untuk Berselawat
1.       Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:
2.       Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
3.       Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
4.       Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
5.       Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
6.       Di akhir qunut dalam solat.
7.       Di dalam solat jenazah.
8.       Ketika masuk dan keluar dari masjid.
9.       Setiap waktu pagi dan petang.
10.  Hari Khamis malam Jumaat.
11.  Sepanjang hari Jumaat.
12.  Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Semoga ada manfaatnya untuk diamalkan. Wallahua’lam.


"SELAWAT MAULIDUR RASUL"
Sila Klik Pautan Di Bawah Untuk Muaturun

No comments:

Post a Comment