7 Golongan Yang Mendapat Naungan
Allah Pada Hari Kiamat
Matan
hadis Rasulullah SAW :
Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa
Rasulullah SAW bersabda : Ada tujuh (7) golongan yang akan mendapat
perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya :
1. Imam
(pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang
taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang
terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang
yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang
diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan
cantik,
lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang
bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui
tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan
kanannya.
7. Orang yang
bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No.
1031) )
Penerangan
Hadis :
Di dalam hadis di atas baginda Rasulullah SAW menjelaskan
tentang tujuh (7) golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah
pada Hari Kiamat. Mereka akan terhindar
dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah
golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu
daripada tujuh sifat di bawah ini :
1.
Imam yang adil
Yang dimaksudkan dengan imam di sini
ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada
pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah
menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula
menerima rasuah.
Oleh itu seorang pemimpin mestilah
bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk
membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat
berikut :
Allah berfirman :
“Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata:
“(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak
mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)
2.
Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil
Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak
umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak
kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan
inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan
membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun
Wa Rabbun Ghafuur).
Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul
Kahfi dalam firmanNya :
“Sesungguhnya mereka itu adalah
pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka
petunjuk”
(Al-Kahfi 18:13)
3.
Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid
Masjid adalah tempat yang paling mulia di
atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah
pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada
masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan
solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti
berada di dalam masjid.
Diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW
segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini
memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan
antara keperluan jasmani dan rohani.
Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat
kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk
mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat
melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.
4.
Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah
Islam adalah agama yang berteraskan cinta
kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran
yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian,
jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan
mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.
Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah
hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar
terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur
kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah.
Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama
menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia
semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat
kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.
5.
Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia
berkata : “Aku takut kepada Allah”
Wanita selalu diperalat oleh syaitan
untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang
mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah
imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan
perlindungan Allah.
Lelaki yang benar-benar takut kepada
Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang
benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan
berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.
Manusia jenis inilah barangkali yang
ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang
dikenali dengan nama Zulaikha :
“Yusuf berkata : Wahai Tuhanku, penjara
lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau
hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi
keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)
6.
Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
Rasulullah SAW menggambarkan manusia yang
ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat
dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan
nafkahkan.
Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa
manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran
daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna
kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah
secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat
daripada riya' dan takabbur.
Ini sebagaimana firman Allah :
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka
itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada
orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)
7.
Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.
Rasulullah SAW menyatakan dalam bahagian
ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis
kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang
membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga
malam atas dosa masa silam.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan
hakikat ini di dalam hadisnya :
“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh
api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang
berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”. (Hadis Riwayat Tarmidzi)