Thursday 3 January 2013

Soal Jawab Solat Berjemaah (4)

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (4)

10. Solat Sunat Berimamkan Solat Fardhu
Soalan:
Semasa saya sembahyang sunat didatangi oleh seorang menepuk bahu saya, dengan tujuan untuk berimamkan saya untuk sembahyang zuhur, apakah saya perlu beritahu beliau yang saya sembahyang sunat bukannya sembahyang zuhur, dan adakah sembahyang beliau tadi sah atau bagaimana?

Jawapan:
Para ulamak menjelaskan sah seorang yang menunaikan solat fardu bersolat dengan berimamkan orang yang menunaikan solat sunat. Kerana itu tidak  perlu imam yang terlibat membuat sesuatu isyarat supaya ia tidak dijadikan imam oleh orang yang ingin menunaikan solat fardhu itu, kerana ia sedang bersolat sunat. Lihat Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq.

11. Berimamkan Pengawal Keselamatan Bank Riba
Soalan:
Saya ada terlihat seorang yang biasa menjadi imam sembahyang berjamaah di surau menjadi pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang ada mengamalkan sistem riba. Apakah hukum makmum yang bermakmum solat dibelakangnya sedangkan dia berkerja di bank yang mengamalkan sistem riba? Saya teringat akan hadith Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang terbabit di dalamnya akan memdapat dosa. Diharap dapat tuan memberi penjelasan supaya tidak ada keraguan.

Jawapan:
Umumnya adalah sah berimamkan dengan ahli maksiat dan imam yang fasik sebagaimana menurut iktikad ahli sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana ada beberapa tokoh ulama menunaikan solat di belakang Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi di zamannya yang banyak zalim dan membunuh orang dalam sejarahnya. Ini menunjukkan perkara ini adalah dibolehkan dan solat adalah sah.

Yang pentingnya ialah seseorang itu menunaikan solat mencukupi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama termasuklah mufti negara Arab Saudi dalam fatwa semasa beliau. Walau bagaimanapun jika ada imam yang tidak fasik dan bukan pula ahli maksiat, adalah lebih utama (baik) berimamkan imam ini.

12. Bismillah Sebelum Al-Fatihah
Soalan:
Dalam solat berjemaah lima waktu terdapat tiga waktu yang disunatkan bagi imam membaca dengan suara yang kuat (lantang) iaitu maghrib, isyak dan subuh.

Bagaimanakah hukumnya sembahyang itu, misalnya maghrib apabila imam membaca al-Fatihah tetapi hanya mula membaca dengan lantang dengan ayat yang kedua dari al-Fatihah maksudnya dia hanya membaca dengan lantang bermula dengan ayat Alhamdulillahirabbila'lamin. Saya harap agar ustaz dapat memberi penjelasannya.

Jawapan:
Para ulama berselisih pendapat tentang membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah. Adakah ia dianggap sebahagian dari surah al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi imam Asy-Syafii, Bismillah adalah sebahagian dari surah al-fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring ia dibaca nyaring oleh imam. Jika solat itu solat yang sembunyi (tidak nyaring), ia hendaklah dibaca secara sembunyi oleh imam.

Ini bermakna berdasarkan pendapat imam Asy-Syafii  membaca bismillah ketika membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Sesetengah ulama berpendapat bismillah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan mereka berselisih pula tentang asal ayat bismillah ini. Walau bagaimanapun jika anda berimamkan imam yang bermazhab Hanafi yang tidak membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah solat anda tetap sah, kerana mereka yang berpegang dengan mazhab Hanafi sebenarnya membaca Bismillah tetapi secara senyap tidak terang.

Tambahan pula seluruh ulamak berpendapat membaca Bismilah sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat cuma teknik pelaksanaannya sahaja yang mereka perselisihkan iaitu samada dengan terang atau tidak terang.

No comments:

Post a Comment