Tuesday 13 November 2012

Bulan Muharram

 Bulan Muharram 

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (Surah at-Taubah, 9: 36):

Maksudnya : “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas bulan sebagaimana ketetapan Allah di ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada 4 bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang 4 itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa.”

Nabi SAW bersabda:

“Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya 4 bulan haram. 3 bulan berturut-turut, iaitu Dzulqa’dah, Dzulhijjah, Muharram, dan satu lagi adalah Rejab yang terletak di antara bulan Jumadil Akhir dan Sya’ban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/470, no. 2958)

Bulan Muharram adalah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya yang tersendiri. Nabi SAWmenyatakan bulan Muharram adalah bulan Allah, dan puasa yang yang paling afdhal setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram.  Sabda Nabi SAW:

“Puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah bulan al-Muharram. Dan solat yang paling afdhal setelah solat yang difardhukan adalah solat di malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/63, no. 1982)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan Haram, terutamanya di bulan Muharram. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Sebahagian kepercayaan dalam masyarakat Melayu, ada yang mempercayai bulan Muharram ini adalah bulan yang membawa sial sehingga mereka khuatir untuk menikahkan anak mereka pada bulan ini.  Kepercayaan ini sangat popular di kalangan masyarakat jawa khususnya.  Perkara ini tidak ditemui sebarang dalil yang kuat.  

Hikmah Bulan Haram

Hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu bulan Dzulqa’dah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Dzulhijjah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharram supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Bulan Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Ka’bah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana di dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

Amalan Puasa Sunat di Bulan Muharram

1.      Puasa sunat secara umum di bulan Muharram
2.      Puasa sunat Tasu’a (9 Muharram)
3.      Puasa sunat ‘Asyura (10 Muharram)

Di antara amalan sunat yang disebutkan secara khusus pada bulan Muharram adalah berpuasa sunat.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram.  Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunat secara umum.  

Memperbanyakkan amalan puasa sunat dalam bulan Muharram terutamanya pada hari yang ke sepuluh Muharram adalah termasuk sunat-sunat yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

“Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke sepuluh Muharram).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana Allah telah menyelamatkan bani Isra’el dari kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada Allah. Dan kami pun turut serta berpuasa.”

Nabi SAWpun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/127, no. 1865)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari ‘Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan turun, puasa di hari ‘Asyura menjadi sunat dan tidak diwajibkan. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari ‘Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/125, no. 1863)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari ‘Asyura (hari yang ke sepuluh) sahaja di bulan Muharram, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke sembilannya.

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

“Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari ‘Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAWberkata, “Jika begitu, tahun depan insyaAllah kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim, 5/479, no. 1916)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunatkan agar berpuasa di hari ke sepuluh Muharram atau dikenali sebagai hari ‘Asyura, tetapi juga turut disunatkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharram (tasu’a).

Rasulullah SAW mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya:

“Adapun puasa di hari ‘Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/55, no. 1976)

Juga sebagaimana dalam hadis yang lain sebagaimana telah disebutkan, puasa di hari ‘Asyura adalah termasuk puasa yang paling afdhal setelah puasa wajib di bulan Ramadhan. Dan Rasulullah sentiasa melaksanakannya puasa ‘Asyura ini dengan penuh kesungguhan. Ini adalah sebagaimana kata ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

“Tidaklah aku pernah melihat Rasulullah SAWberusaha untuk melaksanakan puasa pada satu hari yang lebih beliau utamakan berbanding hari-hari lainnya melainkan pada hari ini iaitu hari ‘Asyura, dan pada bulan ini, iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/125, no. 1867)

~~~~~~~~~~~~~
MUATURUN
DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN HIJRAH

No comments:

Post a Comment