Zulhijjah & IdilAdha
- Korban &
Hukum Berkaitan -
KLIK FOTO UNTUK BESARKAN
Allah SWT berfirman : ertinya : "dan
berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
Ertinya : "Sesiapa
yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan
hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
Ertinya : "Tiadalah
amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali
berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat
At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
KORBAN - POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang
dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian
pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq
r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a
dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka
yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang
yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari
memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sahih,
iaitu :-
Ertinya : Barangsiapa yang
ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka
janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" (Muslim, 3/39 )
Justeru, majoriti ulama dari mazhab
Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi
melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam
kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah
(menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan
Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu
masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut
adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong
kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL
SEMBELIHAN
TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya
dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari
pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah
biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari
bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti
Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.
Adalah diingatkan jua agar meniatkan
Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan
Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
Ertinya : Daging-daging
unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi
ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah
menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya
kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama
untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor
kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih
sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan
nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
Ertinya : "Hadirkanlah
dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu
yang pertama"
MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG QURBAN
Majoriti ulama mengharuskannya mankala
tegahan untuk mematahkan tulang hanya di dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi
kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi
Ertinya : Sunnah adalah dua
ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan
tulangnya. ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang
menegah dalam bab sembelihan Qurban.
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti
oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah
1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling
banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
QURBAN DI LUAR KAWASAN
Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih
dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang
menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan
diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di
luar.
Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK
MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang
memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin &
Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah.
bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah
menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan
sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda
kepada orang lain. Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang
mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah
Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban
MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah
khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.
GABUNG QURBAN DAN AQIQAH
Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan
Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk
diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas
kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :
Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama
mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus,
TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang
maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.
Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan
Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus
di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian
aqiqah.
Pandangan yang terpilih adalah tidak
menggabungkannya jika punyai kemampuan.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah
bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
a). 1/3
(sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
b). 1/3
(sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
c). 1/3
(sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan
berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan
juga firman Allah :
Ertinya "Dan makanlah ia, dan
berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW
sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS
(DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN
KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA.
UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA
JUAL DAGING QURBAN
Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan
tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan
dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin
atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan
sebuah hadis
Ertinya : Rasulullah
mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat
Al-Bukhari)
Pun begitu, boleh diberikan daging qurban
sebagaimana orang lain.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk
menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan
kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak
membenarkan.
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging
kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang
diriwayatkan oleh Muslim.
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini,
sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab
Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib.
[6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat
Islam adalah lebih utama dalam hal ini.
BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank
dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan
hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk
menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban
kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan
kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang
telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya
masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan
memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan
serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh
dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab
wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah
kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya
sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam
tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban
sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan
persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti
kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan
tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas
saya.
SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM
Asal hukum mesti bahimatul al-an’am
sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.
Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan
kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai
ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli
daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu
secara majaz.
QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang
melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu
untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya : "tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan
oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi
yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI
menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya. Ketika itu
korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya
sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh
bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada
kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala
korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu
pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau
bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat
demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu,
untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat
tetapi individu.
BINATANG YANG DIKONGSI
a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta,
Kerbau
Dalilnya dari hadis :
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu
Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’
ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan
sebahagian mengHARUSkannya.
KONGSI PAHALA QURBAN
a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih
satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada
keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b) Namun untuk kongsi pahala dengan
seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi
sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak
berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa
ingin menyembelih:
Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah
dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.
SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?
Jawabnya adalah imam di sesuau tempat
tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan
hadith :
Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan
sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih
di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya
Zaharuddin
Abd Rahman
Sumber :
http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/219-zulhijjah-a-idiladha-beberapa-isu-a-hukum.html
~~~~~~~~~
PUASA ARAFAH IKUT MEKAH
ATAU MALAYSIA ?
Sila ke pautan di
bawah untuk penjelasan isu tersebut :
http://muamalatmurni.blogspot.com/2014/10/puasa-hari-arafah-ikut-mekah-atau.html
No comments:
Post a Comment