Kelebihan solat berjemaah
40 hari atau 40 waktu (8 Hari)?
Riwayat yang menyebut adanya kelebihan bersolat 40 waktu, iaitu menunaikan 40 solat fardu
(8 hari) adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra., bahawa
Nabi :saw bersabda :-
"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni,
solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya
(pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga)
dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)." [Hadith Imam Ahmad, dalam Musnad].
Hadith ini dipertikaikan statusnya. Imam Haithami
menjelaskan didalam Majma' al-Zawaid mengatakan, Imam Tirmudzi meriwayatkan
sebahagiannya. Hadith ini diriwayatkan sepenuhnya oleh Imam Ahmad, dan Imam
Tabarani didalam Awsat, periwayatnya adalah tsiqah.
Menurut
Imam Mundhiri didalam al-Targhib wa al-Tarhib bahawa periwayat didalam rantaian
dari periwayatan Imam Ahmad adalah sangat sahih.
Namum demikian terdapat pertikaian mengenai salah seorang periwayat yang
bernama Nabith ibn Umar yang dikatakan tidak dikenali.
Perlu diingat bahawa walaupun ada yang berpendapat hadith ini lemah (Dhaif), ia masih lagi boleh
diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal. Menurut Dr Abdullah
al-Faqih, beberapa ulama' percaya bahawa jika sesuatu amalan didasarkan pada
dalil (hadith) yang bukan PALSU, InSyaAllah ia adalah benar. Tambah beliau,
maka adalah dinasihatkan melakukan amalan tersebut menurut hadith.
Menurut ulama', latihan 40
waktu solat itu merupakan praktik asas bagi seseorang itu menjadikan Solat
berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air
masing-masing. (Lihat buku Madinah Munawarah : kelebihan dan sejarah, karangan
al-Fadhil Dr Abdul Basit Abdul Rahman). Umat Islam digalakkan banyak melakukan
solat di Masjid Nabi sebagaimana hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa
solat di Masjid Nabi ganjaran 1000 kali dari masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.
Disana, terdapat sebuah hadith yang statusnya HASAN
mengenai kelebihan bersolat 40 hari di Masjid Nabawi. Hadith dari
Anas bin Malik, bahawa Rasulullah :saw bersabda :
"Barangsiapa bersolat
berjemaah 40 hari dan mendapat Takbir al-Ihram (bersama Imam), akan ditulis
kepadanya 2 perkara; dia akan selamat dari Api Neraka dan dia akan selamat dari
Nifaq (munafik)" [Riwayat Imam al-Tirmudzi].
Hadith diatas ini menjelaskan solat 40 hari,
dan bukan 8 hari (40 waktu).
Kesimpulannya, adalah sangat
digalakkan memperbanyakkan solat di Masjid Nabi :saw, dimana ganjarannya adalah
1000 kali dari masjid lain. Amalan 40 waktu boleh diamalkan sebagai
"kelebihan amal" dan hadith tersebut bukanlah sepakat ulama'
menolaknya. Amalan 40 waktu ini diharap dapat membentuk sikap cintakan solat
berjemaah di masjid, atau bagi yang mampu, bolehlah menunaikan solat berjemaah
40 HARI di Masjid Nabawi.
No comments:
Post a Comment