AURAT(2)
AURAT WANITA ISLAM
DI HADAPAN WANITA BUKAN ISLAM
Terdapat
banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita
kafir;
Aurat Wanita Mengikut Mazhab
a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak
mazhab Maliki dan Syafi’ie); “aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh
badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di
hadapan lelaki ajnabi”.
b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab
Maliki : “aurat
seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali
bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada
kebiasaannya untuk dizahirkan”.
Menurut
Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi
pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.
c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; “sama seperti
auratnya di hadapan wanita Islam iaitu antara pusat dan lutut” (mengikut
pandangan jumhur ulamak).
Pandangan
ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab
Syafi’ie dan Maliki. Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang
lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para
muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.
Aurat
Wanita Mengikut Akhlak
Ada sebahagian ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan
kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat,
berakhlak atau tidak berakhlak;
a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus
membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang
harus dibuka di hadapan mahram).
b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak
berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan
muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga,
jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan
wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau
wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya
melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia
berhadapan lelaki ajnabi.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment