Thursday 3 April 2014

7 Golongan Dilindungi Allah Pada Hari Kiamat

7 Golongan Yang Mendapat Naungan
Allah Pada Hari Kiamat
 
Matan hadis Rasulullah SAW :

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah SAW bersabda : Ada tujuh (7) golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya :

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan
    cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui
    tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No. 1031) )


Penerangan Hadis :

Di dalam hadis di atas baginda Rasulullah SAW menjelaskan tentang tujuh (7) golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat.  Mereka akan terhindar dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini :

1. Imam yang adil

Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima rasuah.

Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat berikut :

Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil

Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul Kahfi dalam firmanNya :

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (Al-Kahfi 18:13)


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid

Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.

Diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani.

Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah

Islam adalah agama yang berteraskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.

Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah.

Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata : “Aku takut kepada Allah”

Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah.

Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.

Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang dikenali dengan nama Zulaikha :

“Yusuf berkata : Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

Rasulullah SAW menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riya' dan takabbur.

Ini sebagaimana firman Allah :

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

Rasulullah SAW menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam atas dosa masa silam.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya :


“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.  (Hadis Riwayat Tarmidzi)