Kisah 50 sen
Friday, 15 March 2013
Kisah 50 Sen
Kringggg....
loceng menandakan masa rehat berbunyi. Terima kasih cikgu, semua pelajar pun beredar
ke kantin. Tapi masih kelihatan seorang pelajar tidak keluar utuk rehat. ”Awak tak rehat ke Alif?” Ujar saya kepada
pelajar itu. ”Tidak cikgu.” Jawab Alif ringkas.
”Kenapa tidak
rehat?” Jawab Alif "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin 50 sen ni
dapat beli nugget sekeping aje. Malu la cikgu beratur panjang cuma dapat beli
nugget je.” Jadi saya kumpul duit hari ini untuk makan hari esok. Jadi saya dapat
la makan nugget 50 sen dan minum air sirap 50 sen. Saya di kantin hari Selasa
dan Khamis je cikgu " Alif tertunduk malu.
Perasaan saya mula bercampur baur, sedih sebak.
Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai
di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50
sen amat besar ertinya.
Saya tanya lagi,
kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye? Ooh hari jumaat duit 50 sen ni saya sedekah
masa bacaan yaasiiiin cikgu. Jawab Alif dengan bersahaja. Mak saya kata kalau
kita sedekah rezeki kita akan bertambah.
Mata saya dah
berkaca... Saya terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen.
Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku
ini…. luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.
Huh seperti
terpukul sungguh saya, bayangkan duit 50 sen yang diberi untuk makan, dia
infakkan (sedekahkan) 50 sen untuk tabung sekolah setiap hari jumaat
semasa bacaan yaasiiiin.
Mungkin kisah ini
nampak ‘simple’ tapi bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak
temukan saya dengan pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.
Bagaimana pula
dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat?
Har ini Jumaat.
Ayuh kita berazam untuk lebihkan sedekah
pada hari yang mulia ini kepada masjid masa solat Jumaat, kaum kerabat yang
dalam kesusahan dan untuk fuqarak serta orang miskin. Semoga Allah SWT
memberikan ganjaran di atas keikhlasan anda semua.
Sumber dari seorang
sahabat yg mengajar di IPG Bangi, barakallahu fiekum ajma'in.
Petikan Dari : Facebook Ustaz
Zahazan Mohamed
Thursday, 7 March 2013
PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG
PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan
sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun
orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat
menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak
mengangkat takbiratul ihram sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat
yang dikecualikan, iaitu:
1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari
telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari
telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.
Bagaimanapun, menurut Imam
asy-Syabramallisi Rahimahullah jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk
kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan
matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum
mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah
tempat sujud.
2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut dan
pada ketika itu, orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang
ditakutinya seperti musuh di dalam situasi peperangan, binatang buas, orang
yang hendak merampas hartanya dan sebagainya, maka dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah
apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.
3.
Tidak disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat
sujud jika terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya pada tempat
sujud jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah,
hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang
mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat
membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat
yang sangat mulia.
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
- Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika
sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak
dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullah. Pendapat ini juga turut
dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullah.
Adapun
pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana
yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ialah sunat
menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di
hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Jenazah
Menurut
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sungguhpun tiada sujud yang
disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan
juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan
kedudukan tempat sujud itu. Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada
perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullah yang mengatakan bahawa sunat menghalakan
pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat
ini didha‘ifkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah
al-Muhtaj.
Hukum Menutup Mata Ketika
Sembahyang
Menutup
mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat
yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan
orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana
ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘if.
Maka
dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah
lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup
mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi
perbuatan tersebut khilaf al-awla (menyalahi
yang utama). Ini kerana tidak pernah
dikhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat
Radhiallahu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.
Bagaimanapun,
ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup
mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya
mahupun orang lain.
Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullah pula
memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang
itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang,
misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran
pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya yang boleh mengganggu kekhusyukan
dan tumpuan ketika sembahyang, maka dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.
Bagaimanapun, menutup mata
ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang
dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada
terpandang akan sesuatu yang haram.
Hukum Memandang Ke Arah Langit
Ketika Sembahyang Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit
(ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga
makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah
langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.
Ini berdasarkan sebuah
hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Kenapakah
(kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika
sembahyang !?” Kemudian sabda Baginda menjadi semakin
tegas sehinggalah Baginda bersabda : “Hendaklah mereka itu berhenti daripada
berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata
mereka).”
(Hadits
riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berdasarkan
pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh
juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan
kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan
ke arah pakaian ataupun sejadah yang memiliki lukisan, gambar dan sebagainya.
SUMBER
: PEJABAT MUFTI NEGARA PEJABAT PERDANA MENTERI BRUNEI DARUSSALAM (BILANGAN 259)
Subscribe to:
Posts (Atom)