Wednesday, 26 June 2013

Fatih Seferagic

Fatih Seferagic



Seorang Al-Hafiz muda berbangsa Bosnia, dilahirkan di Jerman, dan menetap di Texas, USA. Fatih merupakan seorang guru Al-Quran di sana. Beliau baru berusia17 tahun.

Bukan pemuda biasa, tetapi seorang yang hafaz Qur’an dan Masha Allah suaranya merdu dan indah. Tinggal dan menetap di Amerika Syarikat bukan menjadi alasan baginya untuk tidak menghafal Al-Quran. Pada usia 4 tahun, dia berpindah ke AS, tinggal di Arizona selama 3-4 tahun sebelum menetap di Baltimore, Maryland selama 7 tahun dimana dia mula menghafal Al-Quran.

Dia mula menghafal Al-Quran pada usia 9 tahun dan menghafal 30 juzuk Al-Quran dalam 3 tahun atau menjadi hafiz pada usia 12 tahun. Dia melatih hafalannya itu di bawah bimbingan Syekh Qari Zahid dan Qari Abid.  Sekarang sambil sekolah, dia juga mengajar Al Quran dan menjadi ketua remaja masjid Sheikh Yasir Birjas di Dallas, Texas.

Mari cuba kita dengarkan bacaan Fatih Seferagic semasa menjadi imam solat Terawih (Bacaan Fatihah dan Surah Ar-Rahman). 


Dan mari dengarkan lagu nasyid Ghuraba yang dialunkan olehnya, sungguh merdu. SUBHANALLAH.

Wednesday, 12 June 2013

Kenapa Wanita Islam Tutup Aurat ?

Kenapa Wanita Islam Tutup Aurat ?


Suatu ketika terjadi soal jawab di antara seorang lelaki Inggeris yang belum Islam dengan seorang syeikh yang bijaksana di Kota London. Perbualan yang singkat tetapi bernas ;

Lelaki Inggeris  bertanya: "Kenapa dalam Islam wanita tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki?"

Syeikh tidak menjawab sebaliknya melontarkan soalan kepada lelaki Inggeris : "Dapatkah kamu berjabat tangan dengan ratu Elizabeth?

Lelaki Inggeris  menjawab: "Oh tentu tidak boleh! Cuma orang-orang tertentu saja yang dapat berjabat tangan dengan ratu."

Syeikh tersenyum dan berkata: “Wanita-wanita kami (Kaum muslimin) adalah para ratu.  Ratu tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki sembarangan (yang bukan mahramnya).”

Lalu lelaki Inggeris bertanya lagi, "Kenapa perempuan Islam menutupi tubuh dan rambut mereka?"

Syeikh tersenyum, kebetulan dia mempunyai dua coklat, beliau membuka bungkusan coklat yang pertama manakala yang satu lagi dibiarkan berbungkus seperti asalnya. Dia melemparkan keduanya ke lantai yang kotor.

Lantas Syeikh pun bertanya: “Jika saya meminta anda untuk mengambil satu di antara dua coklat di lantai itu, mana yang anda akan pilih?"

Lelaki Inggeris  menjawab: "Tentunya yang masih berbungkus ...”

Syeikh berkata: “Itulah cara kami memperlakukan dan melihat perempuan kami.”


Lelaki Inggeris  menjawab: "Wow Islam menakjubkan ...”


Sunday, 7 April 2013

Emas Sama Dengan Tanah?


Kisah Muhammad bin Wasi'


Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' telah menukilkan satu kisah tauladan yang cukup menggugat jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi'. Muhammad bin Wasi' terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi' di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya, 'Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam. Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?' Mereka menjawab: 'Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.' Qutaibah berkata ; 'Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua.'

Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi' untuk menghadapnya.  Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi' terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi' selepas beliau keluar dari majlis itu.

Muhammad bin Wasi' membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi' kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya; 'Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?'

Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah.

Ternyata Muhammad bin Wasi' adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Nabi saw telah bersabda,'Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.'[Riwayat Bukhari dan Ahmad]

Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.

Friday, 15 March 2013

Kisah 50 Sen


Kisah 50 sen

Kringggg.... loceng menandakan masa rehat berbunyi.  Terima kasih cikgu, semua pelajar pun beredar ke kantin. Tapi masih kelihatan seorang pelajar tidak keluar utuk rehat.  ”Awak tak rehat ke Alif?” Ujar saya kepada pelajar itu. ”Tidak cikgu.” Jawab Alif ringkas.
 
”Kenapa tidak rehat?” Jawab Alif "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin 50 sen ni dapat beli nugget sekeping aje. Malu la cikgu beratur panjang cuma dapat beli nugget je.” Jadi saya kumpul duit hari ini untuk makan hari esok. Jadi saya dapat la makan nugget 50 sen dan minum air sirap 50 sen. Saya di kantin hari Selasa dan Khamis je cikgu " Alif tertunduk malu.
 
Perasaan saya mula bercampur baur, sedih sebak. Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50 sen amat besar ertinya.
 
Saya tanya lagi, kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye?  Ooh hari jumaat duit 50 sen ni saya sedekah masa bacaan yaasiiiin cikgu. Jawab Alif dengan bersahaja. Mak saya kata kalau kita sedekah rezeki kita akan bertambah.
 
Mata saya dah berkaca... Saya terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku ini…. luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.
 
Huh seperti terpukul sungguh saya, bayangkan duit 50 sen yang diberi untuk makan, dia infakkan (sedekahkan) 50 sen untuk tabung sekolah setiap hari jumaat semasa bacaan yaasiiiin.
 
Mungkin kisah ini nampak ‘simple’ tapi bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak temukan saya dengan pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.
 
Bagaimana pula dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat?
 
Har ini Jumaat.  Ayuh kita berazam untuk lebihkan sedekah pada hari yang mulia ini kepada masjid masa solat Jumaat, kaum kerabat yang dalam kesusahan dan untuk fuqarak serta orang miskin. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran di atas keikhlasan anda semua.
 
Sumber dari seorang sahabat yg mengajar di IPG Bangi, barakallahu fiekum ajma'in.

Petikan Dari : Facebook Ustaz Zahazan Mohamed

Thursday, 7 March 2013

PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG



PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG

Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak mengangkat takbiratul ihram sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:

1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.

Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.

Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.

2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut dan pada ketika itu, orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang ditakutinya seperti musuh di dalam situasi peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas hartanya dan sebagainya, maka dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.

3. Tidak disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud jika terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya pada tempat sujud jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat yang sangat mulia.

Pandangan Mata Ketika Sembahyang
- Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullah. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullah.

Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ialah sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.

Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sungguhpun tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu. Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullah yang mengatakan bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘ifkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang
Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘if.

Maka dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilaf al-awla (menyalahi yang utama).  Ini kerana tidak pernah dikhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Radhiallahu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun orang lain.

Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullah pula memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya yang boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang, maka dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.

Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada terpandang akan sesuatu yang haram.

Hukum Memandang Ke Arah Langit
Ketika Sembahyang Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika sembahyang !?” Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas sehinggalah Baginda bersabda : “Hendaklah mereka itu berhenti daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata mereka).”
(Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah pakaian ataupun sejadah yang memiliki lukisan, gambar dan sebagainya.

SUMBER : PEJABAT MUFTI NEGARA PEJABAT PERDANA MENTERI BRUNEI  DARUSSALAM (BILANGAN 259)

Thursday, 7 February 2013

40 Perkara Yang Membatalkan Iman


40 Perkara Yang Membatalkan Iman 

Menurut Al-Quran & Sunnah


Penerimaan amalan manusia di sisi Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan mentauhid- kan Allah SWT. Sesungguhnya kemurnian dan ketahanan iman seseorang Muslim bergantung kepada keyakinan dan keikhlasan mematuhi dan mengamalkan atau melaksanakan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan.

“Seseorang hamba tidak terkeluar dari lingkungan iman melainkan dengan mengingkari (yakni menolak) perkara yang memasukkannya ke dalam iman”. (Lihat; Syarh al-‘Aqidah at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 331)

Ungkapan di atas menerangkan satu kaedah umum kepada kita iaitu seseorang itu akan menjadi kafir (yakni batal imannya) apabila ia menolak perkara yang memasukkannya ke dalam iman.  Apakah perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman?  Dan apa pula yang dimaksudkan dengan menolaknya?

Iman bermaksud at-Tasdiq iaitu membenarkan. Maksud membenarkan di sini ialah membenarkan Nabi Muhammad s.a.w., yakni meyakini dengan sepenuh hati segala ilmu dan ajaran agama yang disampaikan oleh beliau. Jadi perkara yang memasukkan seseorang ke dalam iman ialah keyakinannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kepada ajaran yang dibawanya. Apabila ia menolak keyakinan tersebut, akan berubahlah ia menjadi seorang kafir atau murtad.

Penolakan itu berlaku apabila ia mengambil sikap mentakzib Nabi Muhammad s.a.w., iaitu mendustakannya dengan tidak lagi meyakini beliau dan ajaran yang beliau bawa.

Jelasnya, iman dan aqidah seseorang itu dianggap terbatal apabila ia mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. iaitu tidak lagi percaya dan yakin kepada khabar-berita dan ketetapan-ketepan hukum yang datang dari baginda sama ada yang bersangkutan dengan aqidah (kepercayaan), ajaran atau syari’at (yakni hukum-hakam dan peraturan). Keingkaran itu lahir sama ada dari pengakuannya sendiri atau dari sebarang ucapan, tindakan dan sikapnya yang jelas menunjukkan penolakannya terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda seperti bercakap menghina Allah dan Rasul, memperolok-olokkan al-Quran atau as-Sunnah, memijak al-Quran, sujud kepada berhala, engkar kewajipan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Demikianlah kaedah asas untuk memahami perkara-perkara yang membatalkan aqidah atau iman. Penyenaraian yang dibuat oleh para ulamak terhadap perkara-perkara yang membatalkan aqidah ada yang menyenaraikan 10, 20 bahkan 40 perkara dan sebagainya adalah bertitik tolak dari kaedah asas ini.

Jika seseorang muslim mengingkari dari ajaran Al-Quran dan Sunnah, akan menyebabkan iman rosak dan binasa.  Antara 40 perkara yang boleh membatalkan iman ialah :

1.     Syirik (Menyekutukan Allah SWT, seperti mengaku ada tuhan selain  
        Allah)
2.     Meninggalkan Solat fardu
3.     Meninggalkan puasa bulan Ramadhan
4.     Enggan mengeluarkan zakat
5.     Enggan menunaikan haji
6.     Murtad
7.     Kufur terhadap Allah
8.     Mengingkari takdir Allah
9.     Beramal selain mencapai keredhaan Allah
10.   Mentaati selain perintah Allah dan Rasul
11.   Tawakal selain Allah
12.   Memperhambakan Manusia
13.   Berpaling dari peringatan Al-Quran
14.   Mengkhianati amanah Allah dan Rasul
15.   Menyembunyikan kebenaran ayat Allah SWT kerana takut kepada
        ancaman manusia
16.   Mengubah dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT
17.   Memecahbelahkan perpaduan kaum muslimin
18.   Mempermainkan kesucian agama
19.   Menghukum dengan hukuman manusia dan menolak hukum Allah
20.   Menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang dihalalkan Allah 21.   Mengajak umat Islam meninggalkan jidah di jalan Allah
22.   Mengkafirkan sesama muslim
23.   Cinta kepada kehidupan dunia melebihi cinta kepada Allah dan 
        Akhirat
24.   Mengamalkan cara hidup orang kafir
25.   Berpegang teguh kepada adat resam nenek moyang yang 
        berlawanan dengan syariat Islam
26.   Munafik (Nifak)
27.   Beramal dengan riak
28.   Gemar mengamalkan perkara bidaah
29.   Membuar peraturan atau undang-undang yang berlawanan dengan
        petunjuk Allah dan RasulNya
30.   Tidak beradab terhadap Rasulullah saw
31.   Menghina sahabat Rasulullah saw
32.   Mengangkat orang kafir menjadi pemimpin
33.   Menolong orang kafir mengintip rahsia orang beriman
34.   Memberi amanah kepada orang kafir untuk kepentingan umat Islam
35.   Memohon keampunan dosa bagi orang kafir
36.   Taksub kepada ulama dalam perkara maksiat
37.   Mempercayai tukang tenung
38.   Mengamalkan dan mempercayai sihir
39.   Mempercayai kuasa azimat
40.   Bersumpah dengan selain nama Allah


Kredit Kepada :

 Dan USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Wednesday, 23 January 2013

SELAWAT KE ATAS NABI


SELAWAT KE ATAS NABI


Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan sebagai tanda kecintaan kepada Nabi SAW dan menjadi faktor utama untuk mendapat  syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak.  Sering kali kita dengar dalam khutbah Jumaat khatib selalau ada menyebut bahawa Allah Ta'ala  berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan". [Al-Ahzab: 56]

Makna Selawat
Tahukah anda apakah maksud selawat itu?  Selawat dalam bahasa Arab bererti doa atau pujian. Pengertianya boleh di kategorikan sebagai berikut ;

1). Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
2). Selawat malaikat pula ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
3). Selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Manakala makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan dari-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman."  [Al-Ahzab:43].

Hukum Berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya,  tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Bakhil Kerana Tidak  Selawat
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat". [HR: Tirmizi. Sahih].

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Selawat Paling Afdhal
Ayat Quran [Al-Ahzab: 56] di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

Antaranya diriwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.  Baginda menjawab dengan mengatakan ; “Katakanlah :
 Adalah logik untuk dikatakan selawat di atas sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

Dalam Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud(tahiyyat) akhir sebelum salam setiap solat.  Adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini diamalkan dalam membaca selawat kepada Nabi SAW, berbanding lafaz selawat yang dikarang atau susunan seseorang, walau pun tiada larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri.

Selawat Paling Ringkas
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih]
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.“

Demikianlah beberapa contoh selawat yang mudah untuk diamalkan.  Banyak lagi bentuk susunan selawat yang disebut dalm hadis-hadis sahih yang boleh dirujuk dalam kitab-kitab muktabar dan alim ulama.

Waktu/Tempat Terbaik Untuk Berselawat
1.       Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:
2.       Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
3.       Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
4.       Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
5.       Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
6.       Di akhir qunut dalam solat.
7.       Di dalam solat jenazah.
8.       Ketika masuk dan keluar dari masjid.
9.       Setiap waktu pagi dan petang.
10.  Hari Khamis malam Jumaat.
11.  Sepanjang hari Jumaat.
12.  Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Semoga ada manfaatnya untuk diamalkan. Wallahua’lam.


"SELAWAT MAULIDUR RASUL"
Sila Klik Pautan Di Bawah Untuk Muaturun