Showing posts with label Aurat. Show all posts
Showing posts with label Aurat. Show all posts

Wednesday, 12 June 2013

Kenapa Wanita Islam Tutup Aurat ?

Kenapa Wanita Islam Tutup Aurat ?


Suatu ketika terjadi soal jawab di antara seorang lelaki Inggeris yang belum Islam dengan seorang syeikh yang bijaksana di Kota London. Perbualan yang singkat tetapi bernas ;

Lelaki Inggeris  bertanya: "Kenapa dalam Islam wanita tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki?"

Syeikh tidak menjawab sebaliknya melontarkan soalan kepada lelaki Inggeris : "Dapatkah kamu berjabat tangan dengan ratu Elizabeth?

Lelaki Inggeris  menjawab: "Oh tentu tidak boleh! Cuma orang-orang tertentu saja yang dapat berjabat tangan dengan ratu."

Syeikh tersenyum dan berkata: “Wanita-wanita kami (Kaum muslimin) adalah para ratu.  Ratu tidak boleh berjabat tangan dengan Lelaki sembarangan (yang bukan mahramnya).”

Lalu lelaki Inggeris bertanya lagi, "Kenapa perempuan Islam menutupi tubuh dan rambut mereka?"

Syeikh tersenyum, kebetulan dia mempunyai dua coklat, beliau membuka bungkusan coklat yang pertama manakala yang satu lagi dibiarkan berbungkus seperti asalnya. Dia melemparkan keduanya ke lantai yang kotor.

Lantas Syeikh pun bertanya: “Jika saya meminta anda untuk mengambil satu di antara dua coklat di lantai itu, mana yang anda akan pilih?"

Lelaki Inggeris  menjawab: "Tentunya yang masih berbungkus ...”

Syeikh berkata: “Itulah cara kami memperlakukan dan melihat perempuan kami.”


Lelaki Inggeris  menjawab: "Wow Islam menakjubkan ...”


Thursday, 13 December 2012

AURAT WANITA ISLAM DENGAN WANITA BUKAN ISLAM


AURAT(2)

AURAT WANITA ISLAM

DI HADAPAN WANITA BUKAN ISLAM


Terdapat banyak khilaf di kalangan ulamak tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir;


Aurat Wanita Mengikut Mazhab
a) Menurut sebahagian ulamak (iaitu setengah ulamak mazhab Maliki dan Syafi’ie); “aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi”. 

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafi’ie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulamak mazhab Maliki :  “aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan”. 


Menurut Imam al-Qurtubi; ini merupakan pandangan kebanyakan ulamak Salaf dan menjadi pandangan Ibnu ‘Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.

c) Menurut sebahagian ulamak yang lain; “sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam iaitu antara pusat dan lutut” (mengikut pandangan jumhur ulamak).


Pandangan ini merupakan mazhab Hanbali dan pegangan sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki.  Menurut Imam Fakhrurazi; inilah pandangan yang lebih mudah bagi manusia hari ini kerana hampir tidak mungkin untuk para muslimah hari ini berhijab tatkala berhadapan wanita-wanita zimmah..”.


Aurat Wanita Mengikut Akhlak
Ada sebahagian ulamak tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat, berakhlak atau tidak berakhlak; 

a) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik; harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

b) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak; tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja, tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.

Wallahu a’lam.

Thursday, 22 November 2012

Aurat Lelaki Dan Perempuan Di Dalam Solat & Luar Solat


Aurat Lelaki Dan Perempuan Di Dalam Solat & Luar Solat

Erti aurat di sisi syarak ialah sesuatu yang wajib ditutup dan diharamkan mendedahkan atau melihatnya.

Aurat Dalam Solat
Menutup aurat adalah syarat sah solat. Iaitu aurat wajib ditutup ketika menunaikan solat walau tidak dilihat oleh manusia lain atau berada dalam kegelapan. Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa batal solat (tidak sah) orang yang tidak menutup aurat sedangkan dia mampu berbuat demikian.

Sempadan atau bahagian aurat yang perlu ditutup adalah ;

1). bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut.

2). bagi perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak
     tangan (pergelangan tangan).

Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud: ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”.

Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat di atas ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).

Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya: Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: ”Tidak diterima solat perempuan yang telah baligh melainkan dengan kain yang menutup kepalanya”. Apabila kepala wajib ditutup, maka menutup seluruh badan adalah lebih utama.

Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang perempuan itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).

Syarat Menutup Aurat
Ada beberapa syarat tambahan yang perlu dipatuhi  dalam menutup aurat bagi lelaki dan perempuan supaya solat yang ditunaikan itu menjadi sah dan diterima oleh Allah, iaitu :-

1). Wajib memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna
     kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna
     kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah.

2). Pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh
     pemakainya.

Aurat Terdedah Secara Tiba-tiba
Bagaimana pula hukumnya sekiranya aurat terdedah secara tiba-tiba ketika menunaikan solat akibat tiupan angin dan seumpamanya?

Para ulama’ ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa tidak batal solat apabila orang yang sedang menunaikan solat itu bersegera menutup kembali auratnya setelah menyedari ianya terdedah kerana tiupan angin, diselak oleh kanak-kanak dsb.

Akan tetapi sekiranya seseorang itu cuai dengan tidak mempedulikan auratnya yang terdedah atau ia mengambil masa yang agak lama untuk menutup auratnya kembali, maka solatnya itu dianggap batal dan tidak sah. Inilah pandangan yang telah dikemukakan oleh ulama’ aliran mazhab Syafe’i dan Hanbali. (Sila Rujuk al-Fiqh al-Islamiy Wa Adilatuh karangan Syeikh Dr Wahbah Zuhayli, jilid 1, halaman 582, cetakan Dar al-Fikr, Damsyik, tahun 1989).


Batasan Aurat Di Luar Solat

Batasan atu sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan orang yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan auratnya ketika berada dalam solat. Oleh yang demikian seseorang yang mempraktikkan menutup aurat dalam kehidupan hariannya, sudah tentu akan memudahkannya untuk menunaikan solat walau di mana sahaja dia berada.

Solat Orang Perempuan Mesti Pakai Telekungkah?
Terdapat kekeliruan terutamanya bagi perempuan yang menganggap bahawa solat tidak sah jika tidak memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang perempuan itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan tidak dapat menutup aurat.  Ini tanggapan salah terhadap menutup aurat.

Fakta yang betul adalah, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang.

Persepsi Salah Menutup Aurat
Adalah amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita sama ada lelaki atau perempuan apabila masih terdapat sebahagian umat Islam hanya menutup aurat di dalam solatnya, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan menutup aurat tidak diambil berat dan terus diabaikan.  Ini jelas berapa banyak lelaki ’muslim’ masih berseluar pendek dikhalayak ramai ketika bersukan dsb.  

Di kalangan ’muslimah’ pula dengan mudah meninggalkan memakai tutup kepala (tudung), ada pula yang bertudung tetapi memakai baju` T-shirt’ pendek yang menampakan lenganya, tidak kurang yang sendat, nampak pusat dan yang ketat menonjolkan bentuk tubuh dsb.  

Tidak kurang pula perempuan yang bertudung ini memakai pakaian yang jarang menampakkan tubuh badan mereka. Kalau beginilah tudung yang dipakai, ia hanya boleh dianggap sebagai tudung fesyen, bukannya tudung yang menutup aurat sebagaimana yang dikehendaki di dalam ajaran Islam. Banyak perempuan pada hari ini yang semakin keliru dengan pelbagai fesyen tudung yang wujud, lalu menganggapnya ianya sudah cukup untuk menutup aurat. Trendkah ini?

Ada pula muslimah yang bertudung tidak sedar menyerupai tudung kepala penganut agama lain atas alasan fesyen terkini. Ada yang bertudung kepala seperti rahid (biarawati) kristian.  Wahai perempuan tutup kepala adalah perintah Allah SWT dan merupakan ibadah dalam Islam. Janganlah sampai ibadah (bertudung kepala) itu menyerupai ibadah agama-agama lain kerana ini dilarang dalam Islam.

Jangan asalkan ada tudung di kepala sahaja, tetapi tidak dikira menutup aurat.  Kekeliruan yang timbul dalam isu tudung ini perlu di ambil perhatian oleh perempuan muslimah yang prihatin terhadap hukum-hakam di dalam Islam. Janganlah kita hanya sekadar menjadi ’pak turut’ atau ’mak turut’ atau mengikut fesyen kononya.  Janganlah sampai tidak tahu apakah yang kita lakukan itu benar atau salah di sisi syarak. Muslimah wajar memahami perbezaan di antara tudung fesyen dan tudung yang menutup aurat.

Menutup aurat seolah-olah hanya semasa mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja.  Sebaliknya ketika di luar solat, ianya terus melakukan penderhakaan kepada Allah.  Keadaan ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan agar solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.

Batasan aurat bagi perempuan muslimah telah dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya (muka dan pergelangan tangan); dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka....." [Surah An-Nur:31}

Dalam ayat yang lain, Allah menjelaskan melalui firmanNya yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]

Sebelum turunnya ayat ini, kebiasaannya perempuan Arab keluar rumah dengan memperlihatkan rambut, leher, telinga, dada dan sebahagian daripada kecantikan dan perhiasan yang ada pada mereka. Lalu ayat ini diturunkan dan memberi penjelasan kepada perempuan muslimah agar menutup aurat mereka dengan sewajarnya. Ayat ini juga diturunkan oleh Allah sebagai penyelamat kepada perempuan muslimah agar tidak diganggu oleh orang munafik dan fasik.

Cukupkah Dengan Bertudung Sahaja?
Ajaran Islam tidak pernah menyuruh perempuan Islam bertudung semata-mata, tetapi dikehendaki menutup aurat. Sekiranya sekadar memakai tudung sahaja, ia tidak dinamakan menutup aurat mengikut kehendak Islam. Justeru, didapati bahawa perempuan bertudung yang ditangkap ketika melakukan maksiat dan perkara-perkara tidak senonoh hampir kesemuanya atau majoritinya tidak menutup aurat walaupun mereka bertudung.

Janganlah bertudung kepala itu sebagai adat kebiasaan ataupun fesyen semasa tetapi niatkanlah bertudung itu kerana Allah SWT dengan menepati kehendak syariat supaya bertudung dan menutup aurat itu menjadi ibadah di sisi Allah SWT.

Nota :
Disunting Dari Artikel Asal Ust. Mohd Sukki Bin Othman (Ust Shauqi), Yang disiarkan dalam majalah Milenia Muslim bulan Februari 2008