Kisah 50 sen
Friday, 15 March 2013
Kisah 50 Sen
Kringggg....
loceng menandakan masa rehat berbunyi. Terima kasih cikgu, semua pelajar pun beredar
ke kantin. Tapi masih kelihatan seorang pelajar tidak keluar utuk rehat. ”Awak tak rehat ke Alif?” Ujar saya kepada
pelajar itu. ”Tidak cikgu.” Jawab Alif ringkas.
”Kenapa tidak
rehat?” Jawab Alif "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin 50 sen ni
dapat beli nugget sekeping aje. Malu la cikgu beratur panjang cuma dapat beli
nugget je.” Jadi saya kumpul duit hari ini untuk makan hari esok. Jadi saya dapat
la makan nugget 50 sen dan minum air sirap 50 sen. Saya di kantin hari Selasa
dan Khamis je cikgu " Alif tertunduk malu.
Perasaan saya mula bercampur baur, sedih sebak.
Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai
di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50
sen amat besar ertinya.
Saya tanya lagi,
kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye? Ooh hari jumaat duit 50 sen ni saya sedekah
masa bacaan yaasiiiin cikgu. Jawab Alif dengan bersahaja. Mak saya kata kalau
kita sedekah rezeki kita akan bertambah.
Mata saya dah
berkaca... Saya terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen.
Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku
ini…. luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.
Huh seperti
terpukul sungguh saya, bayangkan duit 50 sen yang diberi untuk makan, dia
infakkan (sedekahkan) 50 sen untuk tabung sekolah setiap hari jumaat
semasa bacaan yaasiiiin.
Mungkin kisah ini
nampak ‘simple’ tapi bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak
temukan saya dengan pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.
Bagaimana pula
dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat?
Har ini Jumaat.
Ayuh kita berazam untuk lebihkan sedekah
pada hari yang mulia ini kepada masjid masa solat Jumaat, kaum kerabat yang
dalam kesusahan dan untuk fuqarak serta orang miskin. Semoga Allah SWT
memberikan ganjaran di atas keikhlasan anda semua.
Sumber dari seorang
sahabat yg mengajar di IPG Bangi, barakallahu fiekum ajma'in.
Petikan Dari : Facebook Ustaz
Zahazan Mohamed
Thursday, 7 March 2013
PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG
PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan
sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun
orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat
menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak
mengangkat takbiratul ihram sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat
yang dikecualikan, iaitu:
1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari
telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari
telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.
Bagaimanapun, menurut Imam
asy-Syabramallisi Rahimahullah jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk
kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan
matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum
mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah
tempat sujud.
2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut dan
pada ketika itu, orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang
ditakutinya seperti musuh di dalam situasi peperangan, binatang buas, orang
yang hendak merampas hartanya dan sebagainya, maka dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah
apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.
3.
Tidak disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat
sujud jika terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya pada tempat
sujud jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah,
hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang
mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat
membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat
yang sangat mulia.
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
- Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika
sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak
dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullah. Pendapat ini juga turut
dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullah.
Adapun
pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana
yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ialah sunat
menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di
hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.
Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Jenazah
Menurut
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sungguhpun tiada sujud yang
disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan
juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan
kedudukan tempat sujud itu. Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada
perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullah yang mengatakan bahawa sunat menghalakan
pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat
ini didha‘ifkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah
al-Muhtaj.
Hukum Menutup Mata Ketika
Sembahyang
Menutup
mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat
yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan
orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana
ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘if.
Maka
dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah
lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup
mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi
perbuatan tersebut khilaf al-awla (menyalahi
yang utama). Ini kerana tidak pernah
dikhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat
Radhiallahu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.
Bagaimanapun,
ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup
mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya
mahupun orang lain.
Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullah pula
memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang
itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang,
misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran
pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya yang boleh mengganggu kekhusyukan
dan tumpuan ketika sembahyang, maka dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.
Bagaimanapun, menutup mata
ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang
dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada
terpandang akan sesuatu yang haram.
Hukum Memandang Ke Arah Langit
Ketika Sembahyang Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit
(ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga
makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah
langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.
Ini berdasarkan sebuah
hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
Maksudnya: “Kenapakah
(kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika
sembahyang !?” Kemudian sabda Baginda menjadi semakin
tegas sehinggalah Baginda bersabda : “Hendaklah mereka itu berhenti daripada
berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata
mereka).”
(Hadits
riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Berdasarkan
pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh
juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan
kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan
ke arah pakaian ataupun sejadah yang memiliki lukisan, gambar dan sebagainya.
SUMBER
: PEJABAT MUFTI NEGARA PEJABAT PERDANA MENTERI BRUNEI DARUSSALAM (BILANGAN 259)
Thursday, 7 February 2013
40 Perkara Yang Membatalkan Iman
40 Perkara Yang Membatalkan Iman
Menurut Al-Quran & Sunnah
Penerimaan amalan manusia
di sisi Allah SWT adalah bergantung kepada keikhlasan mentauhid- kan Allah SWT. Sesungguhnya kemurnian dan ketahanan iman seseorang
Muslim bergantung kepada keyakinan dan keikhlasan mematuhi dan mengamalkan atau
melaksanakan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW
dalam segala aspek kehidupan.
“Seseorang hamba tidak terkeluar dari
lingkungan iman melainkan dengan mengingkari (yakni menolak) perkara yang
memasukkannya ke dalam iman”. (Lihat; Syarh al-‘Aqidah
at-Thahawiyyah, oleh Ibnu Abil-‘Izzi al-Hanafi, hlm. 331)
Ungkapan di atas menerangkan satu kaedah
umum kepada kita iaitu seseorang itu akan menjadi kafir (yakni batal imannya)
apabila ia menolak perkara yang memasukkannya ke dalam iman. Apakah perkara yang memasukkan seseorang ke
dalam iman? Dan apa pula yang
dimaksudkan dengan menolaknya?
Iman bermaksud
at-Tasdiq iaitu membenarkan. Maksud membenarkan di sini ialah membenarkan Nabi
Muhammad s.a.w., yakni meyakini dengan sepenuh hati segala ilmu dan ajaran
agama yang disampaikan oleh beliau. Jadi perkara yang memasukkan seseorang ke
dalam iman ialah keyakinannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan kepada ajaran
yang dibawanya. Apabila ia menolak keyakinan tersebut, akan berubahlah ia
menjadi seorang kafir atau murtad.
Penolakan itu berlaku apabila ia mengambil sikap mentakzib Nabi
Muhammad s.a.w., iaitu mendustakannya dengan tidak lagi meyakini beliau dan
ajaran yang beliau bawa.
Jelasnya, iman dan aqidah seseorang itu dianggap
terbatal apabila ia mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. iaitu tidak lagi percaya
dan yakin kepada khabar-berita dan ketetapan-ketepan hukum yang datang dari
baginda sama ada yang bersangkutan dengan aqidah (kepercayaan), ajaran atau
syari’at (yakni hukum-hakam dan peraturan). Keingkaran itu lahir sama ada dari
pengakuannya sendiri atau dari sebarang ucapan, tindakan dan sikapnya yang
jelas menunjukkan penolakannya terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda seperti
bercakap menghina Allah dan Rasul, memperolok-olokkan al-Quran atau as-Sunnah,
memijak al-Quran, sujud kepada berhala, engkar kewajipan solat, puasa, zakat, haji
dan sebagainya.
Demikianlah kaedah asas untuk memahami perkara-perkara
yang membatalkan aqidah atau iman. Penyenaraian yang dibuat oleh para ulamak
terhadap perkara-perkara yang membatalkan aqidah ada yang menyenaraikan 10, 20
bahkan 40 perkara dan sebagainya adalah bertitik tolak dari kaedah asas ini.
Jika seseorang muslim mengingkari
dari ajaran Al-Quran dan Sunnah, akan menyebabkan iman rosak dan binasa.
Antara 40 perkara yang boleh membatalkan
iman ialah :
1. Syirik
(Menyekutukan Allah SWT, seperti mengaku ada tuhan selain
Allah)
2. Meninggalkan
Solat fardu
3. Meninggalkan puasa bulan
Ramadhan
4. Enggan mengeluarkan zakat
5. Enggan
menunaikan haji
6. Murtad
7. Kufur
terhadap Allah
8. Mengingkari
takdir Allah
9. Beramal
selain mencapai keredhaan Allah
10. Mentaati
selain perintah Allah dan Rasul
11. Tawakal
selain Allah
12. Memperhambakan
Manusia
13. Berpaling
dari peringatan Al-Quran
14. Mengkhianati
amanah Allah dan Rasul
15. Menyembunyikan
kebenaran ayat Allah SWT kerana takut kepada
ancaman manusia
16. Mengubah
dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah SWT
17. Memecahbelahkan
perpaduan kaum muslimin
18. Mempermainkan
kesucian agama
19. Menghukum
dengan hukuman manusia dan menolak hukum Allah
20. Menghalalkan
yang haram dan mengharamkan yang dihalalkan Allah 21. Mengajak umat Islam meninggalkan jidah
di jalan Allah
22. Mengkafirkan
sesama muslim
23. Cinta
kepada kehidupan dunia melebihi cinta kepada Allah dan
Akhirat
24. Mengamalkan
cara hidup orang kafir
25. Berpegang
teguh kepada adat resam nenek moyang yang
berlawanan dengan syariat Islam
26. Munafik
(Nifak)
27. Beramal
dengan riak
28. Gemar
mengamalkan perkara bidaah
29. Membuar
peraturan atau undang-undang yang berlawanan dengan
petunjuk Allah dan RasulNya
30. Tidak
beradab terhadap Rasulullah saw
31. Menghina
sahabat Rasulullah saw
32. Mengangkat orang kafir
menjadi pemimpin
33. Menolong orang kafir
mengintip rahsia orang beriman
34. Memberi amanah kepada orang
kafir untuk kepentingan umat Islam
35. Memohon keampunan dosa bagi
orang kafir
36. Taksub kepada ulama dalam
perkara maksiat
37. Mempercayai tukang tenung
38. Mengamalkan dan mempercayai
sihir
39. Mempercayai kuasa azimat
40. Bersumpah dengan selain nama
Allah
Kredit Kepada :
Dan USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Wednesday, 23 January 2013
SELAWAT KE ATAS NABI
SELAWAT KE ATAS NABI
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang
agung dan sebagai tanda kecintaan kepada Nabi SAW dan menjadi faktor utama
untuk mendapat syafaat Nabi SAW di hari
Kiamat kelak. Sering kali kita dengar
dalam khutbah Jumaat khatib selalau ada menyebut bahawa Allah Ta'ala berselawat kepada Nabi Muhammad SAW
sebagaimana firman-Nya:
"Sesungguhnya Allah dan para
malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w).
Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah
salam dengan penghormatan". [Al-Ahzab: 56]
Makna
Selawat
Tahukah anda apakah maksud selawat itu? Selawat dalam bahasa Arab bererti doa atau
pujian. Pengertianya boleh di kategorikan sebagai berikut ;
1). Selawat Allah SWT ialah
pujian-Nya di sisi para malaikat.
2). Selawat malaikat pula
ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
3). Selawat orang mukmin ialah
berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan,
kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.
Manakala makna selawat dari Allah Ta’ala kepada
hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan
dari-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
"Dialah yang berselawat kepadamu
(wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya
Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah
Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman." [Al-Ahzab:43].
Hukum
Berselawat
1. Wajib
berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2. Membaca
Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca
Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali
menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau
pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.
Kelebihan
Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu,
beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat
kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan
digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh
darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat
kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.
Bakhil
Kerana Tidak Selawat
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "Orang
Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat".
[HR: Tirmizi. Sahih].
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan
tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa
yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat
Paling Afdhal
Ayat Quran [Al-Ahzab: 56] di atas tidak menjelaskan
satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak
membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang
menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW
cara berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya diriwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497
dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya
kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan ; “Katakanlah
:
Adalah logik untuk dikatakan selawat di atas sebagai
lafaz paling afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah
(dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk
bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah
memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul
Bari: 11/66].
Dalam Kitab Mestika Hadis
1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas
tasyahud(tahiyyat) akhir sebelum salam setiap solat. Adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini
diamalkan dalam membaca selawat kepada Nabi SAW, berbanding lafaz selawat yang
dikarang atau susunan seseorang, walau pun tiada larangan untuk menyusun bentuk
teks selawat sendiri.
Selawat Paling Ringkas
Lafaz bacaan selawat yang
paling ringkas yang sesuai dengan dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292,
sahih]
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas
keluarganya.“
Demikianlah
beberapa contoh selawat yang mudah untuk diamalkan. Banyak lagi bentuk susunan selawat yang
disebut dalm hadis-hadis sahih yang boleh dirujuk dalam kitab-kitab muktabar
dan alim ulama.
Waktu/Tempat Terbaik Untuk Berselawat
1.
Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:
2.
Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
3.
Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa
azan.
4.
Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
5.
Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
6.
Di akhir qunut
dalam solat.
7.
Di dalam solat
jenazah.
8.
Ketika masuk dan keluar dari masjid.
9.
Setiap waktu pagi dan petang.
10.
Hari Khamis malam Jumaat.
11.
Sepanjang hari Jumaat.
12.
Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan
orang ramai.
Semoga ada manfaatnya
untuk diamalkan. Wallahua’lam.
"SELAWAT MAULIDUR RASUL"
Sila Klik Pautan Di Bawah Untuk Muaturun
Wednesday, 16 January 2013
3 Soalan = 1 Tindakan Ada 3 Jawapan
3 Soalan = 1 Tindakan Ada 3
Jawapan
Alkisah Joe (nama glamor) seorang pemuda kampung yang belajar di luar negara. Sehabis
belajar pulang ke tanahair terasa angkuh dan sombong dah pandai sangat
kononnya. Begitu pun di benak kepalanya telah lama tersimpan 3 persoalan yang
dia rasakan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya. Kisah terjadi bila
suatu pagi Joe bertemu seorang imam tua di kampungnya.
Joe : Pak imam apakah boleh menjawab
pertanyaan-pertanyaan saya?
Pak Imam : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya
saya akan menjawab pertanyaan kamu!
Joe : Pak imam yakin?
Profesor dan banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab
pertanyaan saya.
Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh
kemampuan saya, insya'Allah.
Joe : Saya ada 3 soalan
1. Kalau benar
Tuhan itu ada, tunjukan kewujudan Tuhan kepada saya?
2. Apakah yang
dinamakan TAKDIR?
3. Kalau syaitan
diciptakan dari api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka
yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan,
sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak
pernah berfikir sejauh itu?
Dengan sepontan dan tidak disangka Pak Imam pun menampar pipi Joe dengan kuat.
Joe : Aduh ... aduh, sakitnya
Joe (sambil
menahan sakit) : Pak imam marah dengan saya ke sebab soalan tu?
Pak Imam : Saya tidak marah
Joe :
Habis tu kenapa Pak Imam tampar pipi saya, sakit tau ?
Pak Imam : Dah awak soal saya jawablah.
Joe (keliru dan hairan) : Saya
amat tidak faham...?
Pak Imam : Tamparan itu adalah jawapan
saya untuk 3 soalan yang awak tanyakan tadi.
Joe (semakin bingung) : Makin saya
tidak faham...???
Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Joe : Tentu saja rasa sakit dan pedih...!!
Pak Imam : Jadi awak percaya bahawa sakit itu ada?
Joe :
Ya tentulah ....!
Pak Imam : Tunjukkan pada saya wujudnya sakit itu atau macam mana rupanya?
Joe :
Macam mana nak tunjuk, tak namapak, tak bolehlah pak imam
Pak Imam : Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama awak, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tanpa mampu
melihat kewujudanNya.
Pak Imam : Adakah malam tadi awak ada bermimpi atau telah tahu saya akan menampar
awak pagi ini?
Joe : Tidak ada
Pak Imam : Apakah awak pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan dari saya pagi
ini?
Joe :
Langsung tidak terfikir pun
Pak Imam : Itulah yang dinamakan TAKDIR!
Pak Imam : Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar awak
ini?
Joe : Ada tulang, daging dan kulit
Pak Imam : Terbuat dari apakah pipi awak itu...?
Joe : Tulang, daging dan kulit
Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya
tadi?
Joe : Sangat sakit dan pedih, terasa sakit lagi ni
Pak Imam : Itulah...! Walaupun Syaitan terbuat dari api dan Neraka terbuat
dari api, Jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan jadilah ia tempat yang
menyakitkan untuk syaitan.... walaupun sama
unsur asalnya.
Thursday, 3 January 2013
Soal Jawab Solat Berjemaah (4)
Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (4)
10. Solat Sunat Berimamkan Solat Fardhu
Soalan:
Semasa saya sembahyang sunat didatangi oleh
seorang menepuk bahu saya, dengan tujuan untuk berimamkan saya untuk sembahyang
zuhur, apakah saya perlu beritahu beliau yang saya sembahyang sunat bukannya
sembahyang zuhur, dan adakah sembahyang beliau tadi sah atau bagaimana?
Jawapan:
Para ulamak menjelaskan sah seorang yang menunaikan
solat fardu bersolat dengan berimamkan orang yang menunaikan solat sunat.
Kerana itu tidak perlu imam yang
terlibat membuat sesuatu isyarat supaya ia tidak dijadikan imam oleh orang yang
ingin menunaikan solat fardhu itu, kerana ia sedang bersolat sunat. Lihat Fiqh
Sunnah oleh Sayyid Sabiq.
11. Berimamkan Pengawal Keselamatan Bank Riba
Soalan:
Saya ada terlihat seorang yang biasa menjadi
imam sembahyang berjamaah di surau menjadi pengawal keselamatan di salah sebuah
bank yang ada mengamalkan sistem riba. Apakah hukum makmum yang bermakmum solat
dibelakangnya sedangkan dia berkerja di bank yang mengamalkan sistem riba? Saya
teringat akan hadith Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang terbabit di dalamnya
akan memdapat dosa. Diharap dapat tuan memberi penjelasan supaya tidak ada
keraguan.
Jawapan:
Umumnya adalah sah
berimamkan dengan ahli maksiat dan imam yang fasik sebagaimana menurut iktikad ahli sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana
ada beberapa tokoh ulama menunaikan solat di
belakang Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi di zamannya yang banyak zalim
dan membunuh orang dalam sejarahnya. Ini
menunjukkan perkara ini adalah dibolehkan dan solat adalah sah.
Yang pentingnya ialah seseorang itu
menunaikan solat mencukupi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Inilah pendapat
yang dipegang oleh jumhur ulama termasuklah mufti negara Arab Saudi dalam fatwa
semasa beliau. Walau bagaimanapun jika ada imam yang
tidak fasik dan bukan pula ahli maksiat, adalah lebih utama (baik) berimamkan
imam ini.
12. Bismillah Sebelum Al-Fatihah
Soalan:
Dalam solat berjemaah lima waktu terdapat
tiga waktu yang disunatkan bagi imam membaca dengan suara yang kuat (lantang)
iaitu maghrib, isyak dan subuh.
Bagaimanakah hukumnya sembahyang itu,
misalnya maghrib apabila imam membaca al-Fatihah tetapi hanya mula membaca
dengan lantang dengan ayat yang kedua dari al-Fatihah maksudnya dia hanya
membaca dengan lantang bermula dengan ayat Alhamdulillahirabbila'lamin. Saya
harap agar ustaz dapat memberi penjelasannya.
Jawapan:
Para ulama berselisih pendapat tentang
membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah. Adakah ia dianggap sebahagian
dari surah al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi imam Asy-Syafii, Bismillah
adalah sebahagian dari surah al-fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama
al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring ia dibaca nyaring oleh imam. Jika
solat itu solat yang sembunyi (tidak nyaring), ia hendaklah dibaca secara
sembunyi oleh imam.
Ini bermakna berdasarkan pendapat imam Asy-Syafii membaca
bismillah ketika membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Sesetengah ulama
berpendapat bismillah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan mereka berselisih
pula tentang asal ayat bismillah ini. Walau bagaimanapun jika anda berimamkan
imam yang bermazhab Hanafi yang tidak membaca Bismillah sebelum membaca
al-Fatihah solat anda tetap sah, kerana mereka yang berpegang dengan mazhab
Hanafi sebenarnya membaca Bismillah tetapi secara senyap tidak terang.
Tambahan pula seluruh ulamak berpendapat
membaca Bismilah sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat cuma teknik
pelaksanaannya sahaja yang mereka perselisihkan iaitu samada dengan terang atau
tidak terang.
Sunday, 23 December 2012
Al-Quran Melaknat Pembacanya?
Al-Quran Melaknat Pembacanya
“ dan tidak ada Yang
lebih zalim daripada orang-orang Yang mereka-reka perkara-perkara dusta
terhadap Allah! orang-orang Yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan
mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat,
Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah orang-orang
Yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". ketahuilah (Sesungguhnya)
laknat Allah tertimpa kepada orang-orang Yang zalim” (Surah Hud:18)
Dalam tidak sedar sekiranya manusia yang
zalim membaca ayat tersebut,mereka sedang melaknat diri sendiri.Oleh itu bagi
tidak terjadi demikian,hendaklah mereka berusaha menghindarkan daripada menjadi
orang zalim dan berusaha kembali semula menjadi orang Mukmin yang bertaqwa.
Jangan berlaku zalim kepada orang lain
dengan menyakiti mereka atau mengguris perasaan mereka,dan jangan menzalimi
diri sendiri dengan tidak melaksanakan segala perintah Allah berdalilkan hokum
seperti yang ditegaskan dalam al-Quran.
Al-Quran adalah kitab wahyu daripada
Allah,membacanya tidak serupa dengan membaca buku atau kitab biasa.Ada
peraturan dan adab-adab sesuai dengan statusnya sebagai wahyu yang datang
daripada Allah.
Sedangkan mendengar titah sultan
mempunyai tata cara tertentu,iaitu perlu
duduk sama ada di dewan undangan negeri atau parlimen.Hendak masuk dewan tidak
boleh berpakaian seperti hendak ke kedai,tetapi dengan pakaian rasmi.Duduk
dengan penuh hormat cukup lengkap dengan adab adat diraja .
Inilah antara peraturan apabila mendengar
titah diraja,peraturan yang dikarang dan digubal oleh manusia untuk untuk
menghormati seorang raja dalam kalangan manusia.
Sedangkan al-Quran datang daripada
Allah,lebih mustahak lagi untuk menghormatinya,adab yang pertama sayugia
diingatkan kepada orang yang hendak membaca al-Quran adalah mesti mempunyai
wuduk.
Boleh dan tidak berdosa al-Quran tanpa
wuduk,tetapi di sisi Islam orang itu dianggap tidak beradab (biadab) dengan
kitab al-Quran,wahyu Allah yang paling mulia.
Selain dalam keadaan berwuduk,antara adab
membaca al-Quran adalah duduk mestilah dengan duduk yang sopan dan
beradab.Al-Quran yang disanjung tinggi maka menghadapnya mesti dengan penuh
kesopanan sama ada membaca dengan berdiri atau duduk bersimpuh.
Sebaiknya duduk dengan menghadap kiblat
dengan keadaan kepala tunduk,tidak duduk dalam keadaan bersila (mutarabbi`)
kerana duduk bersila dianggap duduk orang yang membesar diri (bagi masyarakat
Arab).
Berbeza dengan masyarakat Nusantara duduk
bersila dianggap cara duduk paling beradab,tidak mengapa jika hendak ditinggal
cara budaya Nusantara dan kembali kepada”duduk sunnah” (duduk bersimpuh).
Bagi masyarakat Nusantara tidak menganggap
duduk bersila sebagai duduk orang yang angkuh,hanya duduk “paut sila”
(meletakkan betis kanan di atas sebahagian peha kiri) seperti duduknya seorang
pendekar yang angkuh itu sahaja yang dianggap bangga diri.
Allah memuji hamba-Nya yang membaca
Al-Quran dalam firmannya:
“Iaitu orang yang
mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring,dan
mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):`Ya Tuhan
kami,tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia.Maha Suci Engkau,maka
peliharalah kami daripada siksa neraka.` (Surah Ali-Imran: 191)
Pada ayat ini Allah memuji orang yang
mengingati-Nya sambil berdiri,kerana membaca al-Quran sambil berdiri ialah
ketika solat.Ertinya jika hendak mendapat pahala yang terbanyak kena ambil
wuduk dahulu,kemudian diturutiibadah solat dengan tujuan supaya dapat membvaca
Al-Quran ketika solat.Itulah ketikanya yang paling afdal Tuhan beri peluang
mendapat pahala yang banyak.
Petikan : Mauidzah TGNANM
Subscribe to:
Posts (Atom)


