Thursday, 2 October 2014

Maksud Haji Akbar

APAKAH HAJI AKBAR ?



Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab : "Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah (Ahkam al-Quran, Al-Jassas ).

Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.  Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya :

1. Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat.

2. Sayidina Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah.

3. Sebahagian ulama yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).


Zaharuddin Abd Rahman
Sumber : http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/219-zulhijjah-a-idiladha-beberapa-isu-a-hukum.html



PUASA ARAFAH IKUT MEKAH ATAU MALAYSIA ?
Sila klik pautan di bawah untuk penjelasan isu tersebut :

Saturday, 2 August 2014

Marhaban, Berselawat, Doa Dan Ucapan Hari Raya I'dilfitri

Marhaban
(Panduan)
Berselawat, Doa Dan Ucapan Hari Raya I'dilfitri

Teks Selawat Ziarah Hari Raya

Teks Doa Ziarah Hari Raya
Maksudnya :
“Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam, selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w yang semulia-mulia utusan dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda.

Ya Allah wahai Tuhan pentadbir seluruh keadaan Tuhan yang maha pemurah dan maha tinggi kedudukannya, dengan limpah dan kemurahanMu tukarkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dan berkatilah kami dan seluruh umat Islam dengan keberkatan bulan Syawal.

Ya Allah wahai Tuhan sebaik-baik tempat permohonan, perkenanlah permintaan kami dan kembalikan lagi peluang kepada kami bulan ini tahun demi tahun dan tahun-tahun seterusnya dan berkatilah Tuan rumah ini ………… dan seluruh ahli keluarganya dan panjangkanlah umur mereka dengan iman dan kurniakanlah kepada mereka rezeki yang halal dan jauhkanlah mereka daripada rezeki yang haram dengan rahmatMu wahai Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.

Selawat dan salam daripada Allah ke atas junjungan kami Muhammad s.a.w dan juga ke atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat Baginda. Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan pentadbir seluruh alam”.

Teks Ucapan Bermaafan Ziarah Hari Raya
Alhamdulillah segala pujian khusus bagi Allah serta Selawat
dan Salam untuk baginda Nabi Muhammad SAW Utusan
Allah yang mulia. 
Syukur kehadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan berkah serta mempertemukan kita dengan Aidilfitri 
di bulan Syawal yang mulia ini.
Di kesempatan ini kami rombongan marhaban dan keluarga ingin memanjangkan ucapkan ;
Selamat Hari Raya Aidilfitri
 Disamping itu sekiranya di pihak kami mempunyai sebarang
dosa kesalahan dan kesilapan dari segi niat, tutur kata, tingkahlaku, dsb. yang menyinggung perasaan dan hati tuan/puan dan keluarga kami mohon ampun dan maaf
zahir batin awal dan akhir.
Begitu juga apa-apa yang termakan, terminum dan terpakai, dsb. oleh kami secara sengaja dan tidak, kami mohon dihalalkan.

Manakala dari pihak kami pula dengan rela hatinya  kami sedia memaafkan sebarang dosa kesalahan dan kesilapan tuan/puan terhadap kami sekeluarga.
Semoga dengan berkah Ramadhan & Syawal ini kita semua mendapat keampunan  dan balasan yang baik daripada Allah SWT, mendapat perlindunganNya, keselamatanNya, ditetapkan iman dan Islam, dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, murah rezeki serta diberi kebaikan hidup di dunia dan akhirat, InsyallahAMIN

Thursday, 17 July 2014

Thursday, 29 May 2014

SALAM YANG TIDAK PERLU (TIDAK WAJIB) DIJAWAB

 5 SALAM YANG TIDAK PERLU
(TIDAK WAJIB) DIJAWAB


Ijmak ulamak menghukumkan memberi salam sunat menjawabnya wajib, melainkan ;

1. Yang memberi salam bukan orang Islam
Tidak wajib jawab salam yang diberikan oleh orang bukan Islam. Jika syak (tidak pasti) yang memberi salam itu orang Islam atau bukan Islam memadai kita jawab “wa’alaikum” (dan keatas kamu).

2. Salam Imam dan orang-orang dalam solat berjemaah
Salam Imam atau ahli jemaah dalam solat berjemaah tidak wajib dijawab oleh makmum. Makmum yang menjawab salam imam atau jemaah lain maka batallah solatnya.

3. Memberi salam selepas berucap/bercakap
Tidak wajib menjawab salam yang diberi selepas seseorang itu berucap/bercakap. Jika hendak memberi salam hendaklah di awal lagi (permulaan) sebelum berucap. Beri salam dahulu barulah cakap.

Sabda nabi “Assalam qoblal kalam” – Ucapankan salam sebelum bercakap.

4. Bila salam dipermain-mainkan
Biasa kita dengar seperti memberi salam kepada orang perempuan seperti berkata “Assalamualaikum Tak Jawap Dosa”. Salam seperti ini tidak wajib kerana mempermain-mainkan salam.

5. Situasi yang tidak dibenarkan memberi salam
Seperti memberi salam kepada orang yang berada didalam tandas.


Petikan Ceramah Umum Maghrib Ustaz  Hassan Din Al-Hafiz, Masjid Jamik Yong Peng 6-2-14

Thursday, 8 May 2014

Thursday, 3 April 2014

7 Golongan Dilindungi Allah Pada Hari Kiamat

7 Golongan Yang Mendapat Naungan
Allah Pada Hari Kiamat
 
Matan hadis Rasulullah SAW :

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah SAW bersabda : Ada tujuh (7) golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya :

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan
    cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui
    tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No. 1031) )


Penerangan Hadis :

Di dalam hadis di atas baginda Rasulullah SAW menjelaskan tentang tujuh (7) golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat.  Mereka akan terhindar dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini :

1. Imam yang adil

Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima rasuah.

Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat berikut :

Allah berfirman : “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil

Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul Kahfi dalam firmanNya :

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk” (Al-Kahfi 18:13)


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid

Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.

Diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani.

Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah

Islam adalah agama yang berteraskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.

Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah.

Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata : “Aku takut kepada Allah”

Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah.

Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.

Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melalui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang dikenali dengan nama Zulaikha :

“Yusuf berkata : Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

Rasulullah SAW menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riya' dan takabbur.

Ini sebagaimana firman Allah :

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

Rasulullah SAW menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam atas dosa masa silam.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya :


“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.  (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Wednesday, 15 January 2014

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT “Ummati, Ummati, Ummati”

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT
“Ummati, Ummati, Ummati” Semasa Hampir Wafat.

ISU:
Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi SAW ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.

Namun, perkataan “Ummati, ummati ...” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).

Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi SAW. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.

Adapun (hadis) yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.

Wallahu A’lam.

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/blog/dakwaan-kisah-nabi-saw-menyebut-ummati-ummati-ketika-hampir-wafat
Submitted by FatwaMalaysia on 10 December 2013 - 11:44am


KISAH SAHIH RIWAYAT DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH SAW
Sila   KLIK SINI