Wednesday, 15 January 2014

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT “Ummati, Ummati, Ummati”

PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT
“Ummati, Ummati, Ummati” Semasa Hampir Wafat.

ISU:
Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah yang tidak benar?

PENJELASAN:

Kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi SAW ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.

Namun, perkataan “Ummati, ummati ...” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).

Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi SAW. Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.

Adapun (hadis) yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya (4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:

من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.

Wallahu A’lam.

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/blog/dakwaan-kisah-nabi-saw-menyebut-ummati-ummati-ketika-hampir-wafat
Submitted by FatwaMalaysia on 10 December 2013 - 11:44am


KISAH SAHIH RIWAYAT DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH SAW
Sila   KLIK SINI

Tuesday, 26 November 2013

Tazkirah Subuh Yang Memberi Keinsafan - Nikmat Paling Besar

Nikmat Paling Besar


Apabila kita telah mengetahui bahawasanya Allah SWT mengharamkan syurga bagi mereka yang kufur terhadapNya maka dari itu kita tahu bahawa sebesar-besar nikmat ialah nikmat Islam.

Apabila Allah menginginkan bagi hambanya kebaikan maka dia dimatikan dalam beragama Islam. Nabi kita pernah berdoa ; “Wahai yang menetapkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu”. Nabi Saw telah pun memberitahu bahawa antara tanda-tanda fitnah akhir zaman orang yang malamnya Muslim, dan paginya kafir  atau paginya dia kafir, dan petangnya dia beriman.

Hari ini kita melihat di sekeliling kita berbagai perkara yang disebarkan yang berbentuk syubhat, penipuan dan perkara yang meragukan dan yang berbentuk syahwat yang membangkitkan nafsu. Tidak syak lagi bahawa ini semua dapat menyebabkan seseorang itu berpaling (dari agamanya).

Allah yang Maha Tinggi apabila mencintai seseorang hamba maka akan diwafatkan dia di dalam Islam. Setiap perkara yang ditarik dari kita pasti akan ada gantinya (dari Allah) kecuali agama (maka tiada gantinya).  Apabila Allah mencintaimu maka dia akan menetapkan kematianmu di dalam Islam supaya engkau mati dalam Islam. Jadikanlah hatimu gembira tatakala engkau menyembah Allah.

Sebahagian orang apabila melakukan sesuatu perkara yang mubah atau makruh seperti menghadiri sesuatu pertandingan atau majlis keramaian dia merasa gembira menghadirinya. Kita tidak ingin membicarakan tentang perihal sesuatu golongan tetapi kita ingin mengambil faedah dari kegembiraan ini. Bagaimana engkau tahu bahawa engkau (tetap) di atas Islam ialah apabila engkau merasa gembira tatakala aengkau mentaati Allah.

Janganlah dilakukan sesuatu ibadah itu semata-mata untuk menyelesaikannya tetapi lakukanlah sesuatu ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.  Allah tidak dimudaratkan oleh kemaksiatanmu tetapi engkaulah yang binasa apabila engkau melakukan maksiat.

Matilah dalam keadaan Islam dalam apa jua keadaan jauh lebih baik daripada mati dalam kekufuran sebagaimana disebutkan dalam doa para solehin “ Ya Allah sesungguhnya aku mencintaiMU walaupun aku bermaksiat kepadaMu”. Dan seorang sahabat yang mulia Amru ibn al-ash tatakala hampir waktu kewafatanya berkata ;”  Ya Allah aku bukanlah seorang yang lepas (dari dosa) maka aku memohon pengampunanMU dan bukanlah aku orang yang kuat (dalam beribadah) maka aku mohon pertolonganMu dan tiada bantuan dan kekuatan kecuali (pertolongan) Allah”.

Apabila Allah telah menetapkan bagimu untuk solat subuh berjemaah setelah engkau keluar masjid hadirkanlah perasaan gembira bahawasanya Allah dengan rahmatnya telah membangunkanmu dai tempat tidurmu dan menyebabkan engkau berdiri di hadapanNya dan membawa engkau bergerak menuju rumahNya (masjid). Inilah yang kita harapkan mereka yang apabila Allah inginkan kebaikan untuk mereka ditetapkan dan dimatikan di atas agama dan tidak ada kegembiraan yang lebih besar bagi seorang hamba selain kegembiraannya terhadap Islam.


Sebagaimana semua telah tahu bahawa seorang hamba itu mestilah bersyukur kepada Allah kerana menjadikanya seorang Muslim. Kita semua dengan rahmat Allah dilahirkan Muslim iaitu Allah memberi kita Islam tanpa kita memintanya maka semoga Allah mengurniakan kepada kita syurga tatakala kita memintanya.


Friday, 8 November 2013

Kesempurnaan Solat

Solat Sempurna


Pernahkah kita mendengar tentang solat sempurna? Ini bukan istilah baru. Walau demikian, solat sempurna ini masih jarang diketahui ramai. Bahkan, sebahagian orang merasa kekok menggunakan istilah solat sempurna. Banyak orang mengatakan, "Bukankah kesempurnaan itu hanya milik Allah? "Jawapannya : "Tidak!" Seorang manusia pun boleh sempurna. Yang mereka maksud dengan "hanya milik Allah" ialah Maha Sempurna.

Manusia pun boleh bersifat adil, tapi yang bersifat Maha Adil hanyalah Allah. Manusia pun boleh bersifat bijaksana, tapi yang bersifat Maha Bijaksana hanyalah Allah . Itulah dasar yang digunakan untuk memahami istilah tentang solat sempurna. Jadi, Maha Adil dan Maha Sempurna adalah hanya milik Allah, tapi adil dan sempurna adalah bagi manusia biasa seperti kita.

Perihal solat sempurna sebetulnya bukanlah sebuah istilah baru. Solat sempurna itu merupakan perintah dari Rasulullah berdasarkan sabdanya :
"Lurus serta rapatkan saf kalian, kerana sesungguhnya lurus serta rapatnya shaf merupakan sebahagian sempurnanya solat " (HR Bukhari, Muslim) .

Sebelum solat berjemaah dimulai, biasanya hadis ini disebutkan oleh imam. Anda pernah mendengar tentang hadis ini ? Hadis tersebut secara jelas menegaskan bahawa agar untuk meraih solat sempurna adalah melalui cara :

1 . Mengerjakan solat dengan tata caranya yang betul
Iaitu solat mengikut cara solatnya Nabi SAW. Tentunya bukan hanya saf solat saja yang betul, tapi seluruh amalan solat (niatnya, bacaanya dan perbuatannya) dari awal hingga akhir hendaklah betul, seperti solat yang dicontohkan dan diajarkan oleh Nabi SAW. "Solatlah sebagaimana engkau melihat aku solat." (HR Bukhari , Muslim, Ahmad).  Inilah yang disebut dengan Solat Nabi. Perkara dapat dicapai melalui belajar ilmu tentang solat.

2. Solat dilaksanakan secara berjamaah di masjid atau surau
Solat berjemaah nilainya sangat tinggi, lebih baik 27 darjatnya berbanding solat sendirian, dan mempunyai banyak fadilat besar yang lain. Nabi Muhammad SAW adalah model manusia paling sibuk, tapi beliau tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid. Bahkan, orang buta yang hidup sebatang karapun tidak mendapat izin dari Rasul untuk meninggalkan solat berjemaah di masjid ( HR Muslim) .

3. Solat yang khusyuk
Selain kedua mata penting di atas (solat Nabi dan solat berjemaah), supaya solat dapat mendatangkan pertolongan Allah, solat menjadi lebih "berkesan", dan pelakunya mendapat balasan sebagai orang yang beruntung ( QS Al Baqarah, Al Ankabut & Al Mukminun ), maka hendaklah solat itu dilaksanakan dengan penuh penghayatan, tunduk dan hadir hati (solat khusyuk).

Daripada asas-asas tersebut, maka lahirlah konsep tentang Solat Sempurna, atau disebut dengan Triologi Solat Sempurna yang terdiri atas:
1. Solat Nabi
2. Solat berjemaah di masjid
3. Solat Khusyu


Kerana itu, belajar tentang solat sempurna ini harus menjadi keutamaan utama yang harus kita kejar mati-matian, sebelum mati sebenar.

Monday, 26 August 2013

SEBELAH SAYAP LALAT ADA PENAWAR?

DI SEBELAH SAYAP LALAT ADA PENAWAR?



Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya dalam minuman itu) dan kemudian buanglah (lalat) itu. Kerana sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain terdapat penyakit. [1]

Hadis kelihatan aneh, bagaimana lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor dapat dikatakan “ubat” ?

Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas: ……sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit…… .

Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, yakni pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri ? Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: …… manakala pada sebelah yang lain terdapat penyembuh.

Toksin inilah juga yang akan bertindak sebagai penawar terhadap bakteria yang dibawa oleh lalat yang terjatuh dalam minuman itu tadi. Untuk memperoleh manfaat yang sepenuhnya daripada toksin ini, hendaklah dibenamkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman tersebut. Tindakan ini memang akan menyebabkan minuman tersebut terdedah kepada lebih banyak bakteria lalat tetapi pada waktu yang sama toksin lalat tersebut akan membunuh bakteria yang dibawanya. Hadis di atas tidaklah aneh tetapi ia memiliki nilai perubatan yang sangat tinggi di dalamnya.

Banyak ahli biologi dan ahli sains yang mengkaji toksin pelbagai binatang yang berbisa seperti kala jengking, lipan, labah-labah Tarantula, ular dan sebagainya untuk dijadikan ubat penawar pelbagai penyakit. Hal ini juga telah didahului oleh para tabib cina sejak beberapa kurun yang lampau. Prinsip kajian ini sama sahaja, iaitu jika toksin binatang-binatang berbisa tersebut mampu menjaga diri tuannya daripada bahaya bisa (venom) yang dibawanya, sudah tentu toksin tersebut juga mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit manusia.

Oleh itu hadis di atas dari sudut ukuran perubatan adalah benar lagi sahih.

Demikian beberapa hadis tentang kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dipertikaikan. Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali akan mendiagnosakan sesuatu penyakit dengan kaedah perubatan yang salah atau memudaratkan. Sabda baginda:

Sesiapa yang menjadi doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul).[2]

---------------------
Nota Kaki :
[1] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5782 (Kitab Tibb, Bab Apabila lalat jatuh…………).

[2] Hasan: Hadis daripada Syu’bah, daripada datuknya, dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Hakim, al-Daruquthni dan lain-lain. Isnadnya dinilai hasan oleh Mujaddi bin Mansur al-Shuri dalam Sunan al-Daruquthni (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) – no: 4452 dan oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no: 3466 (Kitab Tibb, Bab Sesiapa yang berubat tanpa ilmu perubatan).

Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk27.htm

Friday, 16 August 2013

Kelebihan solat berjemaah 40 hari atau 40 waktu (8 Hari)?

Kelebihan solat berjemaah
40 hari atau 40 waktu (8 Hari)?


Riwayat yang menyebut adanya kelebihan bersolat 40 waktu, iaitu menunaikan 40 solat fardu (8 hari) adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra., bahawa Nabi :saw bersabda :-

"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)." [Hadith Imam Ahmad, dalam Musnad].

Hadith ini dipertikaikan statusnya. Imam Haithami menjelaskan didalam Majma' al-Zawaid mengatakan, Imam Tirmudzi meriwayatkan sebahagiannya. Hadith ini diriwayatkan sepenuhnya oleh Imam Ahmad, dan Imam Tabarani didalam Awsat, periwayatnya adalah tsiqah.

Menurut Imam Mundhiri didalam al-Targhib wa al-Tarhib bahawa periwayat didalam rantaian dari periwayatan Imam Ahmad adalah sangat sahih.

Namum demikian terdapat pertikaian mengenai salah seorang periwayat yang bernama Nabith ibn Umar yang dikatakan tidak dikenali.

Perlu diingat bahawa walaupun ada yang berpendapat hadith ini lemah (Dhaif), ia masih lagi boleh diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal. Menurut Dr Abdullah al-Faqih, beberapa ulama' percaya bahawa jika sesuatu amalan didasarkan pada dalil (hadith) yang bukan PALSU, InSyaAllah ia adalah benar. Tambah beliau, maka adalah dinasihatkan melakukan amalan tersebut menurut hadith.

Menurut ulama', latihan 40 waktu solat itu merupakan praktik asas bagi seseorang itu menjadikan Solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air masing-masing. (Lihat buku Madinah Munawarah : kelebihan dan sejarah, karangan al-Fadhil Dr Abdul Basit Abdul Rahman). Umat Islam digalakkan banyak melakukan solat di Masjid Nabi sebagaimana hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa solat di Masjid Nabi ganjaran 1000 kali dari masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.
Disana, terdapat sebuah hadith yang statusnya HASAN mengenai kelebihan bersolat 40 hari di Masjid Nabawi. Hadith dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah :saw bersabda :

"Barangsiapa bersolat berjemaah 40 hari dan mendapat Takbir al-Ihram (bersama Imam), akan ditulis kepadanya 2 perkara; dia akan selamat dari Api Neraka dan dia akan selamat dari Nifaq (munafik)" [Riwayat Imam al-Tirmudzi].

Hadith diatas ini menjelaskan solat 40 hari, dan bukan 8 hari (40 waktu).


Kesimpulannya, adalah sangat digalakkan memperbanyakkan solat di Masjid Nabi :saw, dimana ganjarannya adalah 1000 kali dari masjid lain. Amalan 40 waktu boleh diamalkan sebagai "kelebihan amal" dan hadith tersebut bukanlah sepakat ulama' menolaknya. Amalan 40 waktu ini diharap dapat membentuk sikap cintakan solat berjemaah di masjid, atau bagi yang mampu, bolehlah menunaikan solat berjemaah 40 HARI di Masjid Nabawi.

Monday, 5 August 2013

Thursday, 25 July 2013

Nuzul Quran Dan Lailatul Qadar

Nuzul Quran Dan Lailatul Qadar

Ceramah Dr Basit Abd Rahaman 
Tentang Nuzul Quran Dan Lailatul Qadar