PENCERAHAN TERHADAP KISAH NABI MENYEBUT
“Ummati, Ummati,
Ummati” Semasa Hampir Wafat.
Benarkah dakwaan yang mengatakan bahawa
kisah Nabi S.A.W menyebut ‘Ummati, ummati..” ketika hampir wafat adalah kisah
yang tidak benar?
PENJELASAN:
Kisah kewafatan Nabi Muhammad SAW adalah satu
peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan
secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau
perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan
baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu
hadis.
Berkenaan dengan perkataan “Ummati,
ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi SAW ketika
hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang
muktabar di sisi Ahli Sunnah.
Namun, perkataan “Ummati,
ummati ...” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada
kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.
Antaranya hadis tentang syafaat di
akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga hadis bahawa
Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil
menangis. (Riwayat Muslim).
Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada
kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi SAW. Manakala kisah kewafatan baginda,
tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati,
ummati” sebelum kewafatannya.
Adapun (hadis) yang diriwayatkan oleh
Al-Tabarani dalam Mukjam Awsat, dan juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya
(4/73) bahawa baginda berkata sebelum wafat:
من لأمتي المصطفاة من بعدي
Hadis tersebut dinilai dhaif oleh ulama
hadis. Antaranya Al-Hafiz al-Iraqi di dalam kitab al-Mughni ‘An Haml al-Asfar
Fi al-Asfar (m/s 1849) mengatakan, “Sanadnya dhaif”.
Wallahu A’lam.
Sumber :
http://www.e-fatwa.gov.my/blog/dakwaan-kisah-nabi-saw-menyebut-ummati-ummati-ketika-hampir-wafat
Submitted by FatwaMalaysia on 10 December 2013 -
11:44am
KISAH SAHIH RIWAYAT DETIK-DETIK KEWAFATAN RASULULLAH SAW
Sila KLIK SINI