Monday 26 August 2013

SEBELAH SAYAP LALAT ADA PENAWAR?

DI SEBELAH SAYAP LALAT ADA PENAWAR?



Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam :

Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman kamu, maka benamkanlah (lalat itu sepenuhnya dalam minuman itu) dan kemudian buanglah (lalat) itu. Kerana sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyembuh manakala pada sebelah yang lain terdapat penyakit. [1]

Hadis kelihatan aneh, bagaimana lalat yang dikenali sebagai binatang pengotor dapat dikatakan “ubat” ?

Lalat memang dikenali sebagai binatang pengotor dan pembawa penyakit. Hal ini sepertimana yang telah diterangkan dalam hadis di atas: ……sesungguhnya pada sebelah sayapnya terdapat penyakit…… .

Namun perlu difikirkan kenapakah kekotoran, yakni pelbagai jenis bakteria yang terdapat pada tubuh badan lalat tidak mengakibatkan penyakit kepada lalat itu sendiri ? Jawapannya adalah kerana lalat memiliki daya tahanan badan semulajadi yang menghasilkan sejenis toksin yang bertindak sebagai penawar (antidote) yang memelihara dirinya daripada bahaya bakteria-bakteria tersebut. Hal inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: …… manakala pada sebelah yang lain terdapat penyembuh.

Toksin inilah juga yang akan bertindak sebagai penawar terhadap bakteria yang dibawa oleh lalat yang terjatuh dalam minuman itu tadi. Untuk memperoleh manfaat yang sepenuhnya daripada toksin ini, hendaklah dibenamkan lalat itu seluruhnya ke dalam minuman tersebut. Tindakan ini memang akan menyebabkan minuman tersebut terdedah kepada lebih banyak bakteria lalat tetapi pada waktu yang sama toksin lalat tersebut akan membunuh bakteria yang dibawanya. Hadis di atas tidaklah aneh tetapi ia memiliki nilai perubatan yang sangat tinggi di dalamnya.

Banyak ahli biologi dan ahli sains yang mengkaji toksin pelbagai binatang yang berbisa seperti kala jengking, lipan, labah-labah Tarantula, ular dan sebagainya untuk dijadikan ubat penawar pelbagai penyakit. Hal ini juga telah didahului oleh para tabib cina sejak beberapa kurun yang lampau. Prinsip kajian ini sama sahaja, iaitu jika toksin binatang-binatang berbisa tersebut mampu menjaga diri tuannya daripada bahaya bisa (venom) yang dibawanya, sudah tentu toksin tersebut juga mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit manusia.

Oleh itu hadis di atas dari sudut ukuran perubatan adalah benar lagi sahih.

Demikian beberapa hadis tentang kaedah perubatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang masyhur dipertikaikan. Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali akan mendiagnosakan sesuatu penyakit dengan kaedah perubatan yang salah atau memudaratkan. Sabda baginda:

Sesiapa yang menjadi doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul).[2]

---------------------
Nota Kaki :
[1] Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5782 (Kitab Tibb, Bab Apabila lalat jatuh…………).

[2] Hasan: Hadis daripada Syu’bah, daripada datuknya, dikeluarkan oleh Abu Daud, al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Hakim, al-Daruquthni dan lain-lain. Isnadnya dinilai hasan oleh Mujaddi bin Mansur al-Shuri dalam Sunan al-Daruquthni (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) – no: 4452 dan oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no: 3466 (Kitab Tibb, Bab Sesiapa yang berubat tanpa ilmu perubatan).

Kredit kepada : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/HadisMusykil/tajuk27.htm

Friday 16 August 2013

Kelebihan solat berjemaah 40 hari atau 40 waktu (8 Hari)?

Kelebihan solat berjemaah
40 hari atau 40 waktu (8 Hari)?


Riwayat yang menyebut adanya kelebihan bersolat 40 waktu, iaitu menunaikan 40 solat fardu (8 hari) adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra., bahawa Nabi :saw bersabda :-

"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)." [Hadith Imam Ahmad, dalam Musnad].

Hadith ini dipertikaikan statusnya. Imam Haithami menjelaskan didalam Majma' al-Zawaid mengatakan, Imam Tirmudzi meriwayatkan sebahagiannya. Hadith ini diriwayatkan sepenuhnya oleh Imam Ahmad, dan Imam Tabarani didalam Awsat, periwayatnya adalah tsiqah.

Menurut Imam Mundhiri didalam al-Targhib wa al-Tarhib bahawa periwayat didalam rantaian dari periwayatan Imam Ahmad adalah sangat sahih.

Namum demikian terdapat pertikaian mengenai salah seorang periwayat yang bernama Nabith ibn Umar yang dikatakan tidak dikenali.

Perlu diingat bahawa walaupun ada yang berpendapat hadith ini lemah (Dhaif), ia masih lagi boleh diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal. Menurut Dr Abdullah al-Faqih, beberapa ulama' percaya bahawa jika sesuatu amalan didasarkan pada dalil (hadith) yang bukan PALSU, InSyaAllah ia adalah benar. Tambah beliau, maka adalah dinasihatkan melakukan amalan tersebut menurut hadith.

Menurut ulama', latihan 40 waktu solat itu merupakan praktik asas bagi seseorang itu menjadikan Solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air masing-masing. (Lihat buku Madinah Munawarah : kelebihan dan sejarah, karangan al-Fadhil Dr Abdul Basit Abdul Rahman). Umat Islam digalakkan banyak melakukan solat di Masjid Nabi sebagaimana hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa solat di Masjid Nabi ganjaran 1000 kali dari masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.
Disana, terdapat sebuah hadith yang statusnya HASAN mengenai kelebihan bersolat 40 hari di Masjid Nabawi. Hadith dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah :saw bersabda :

"Barangsiapa bersolat berjemaah 40 hari dan mendapat Takbir al-Ihram (bersama Imam), akan ditulis kepadanya 2 perkara; dia akan selamat dari Api Neraka dan dia akan selamat dari Nifaq (munafik)" [Riwayat Imam al-Tirmudzi].

Hadith diatas ini menjelaskan solat 40 hari, dan bukan 8 hari (40 waktu).


Kesimpulannya, adalah sangat digalakkan memperbanyakkan solat di Masjid Nabi :saw, dimana ganjarannya adalah 1000 kali dari masjid lain. Amalan 40 waktu boleh diamalkan sebagai "kelebihan amal" dan hadith tersebut bukanlah sepakat ulama' menolaknya. Amalan 40 waktu ini diharap dapat membentuk sikap cintakan solat berjemaah di masjid, atau bagi yang mampu, bolehlah menunaikan solat berjemaah 40 HARI di Masjid Nabawi.

Monday 5 August 2013