Friday 15 March 2013

Kisah 50 Sen


Kisah 50 sen

Kringggg.... loceng menandakan masa rehat berbunyi.  Terima kasih cikgu, semua pelajar pun beredar ke kantin. Tapi masih kelihatan seorang pelajar tidak keluar utuk rehat.  ”Awak tak rehat ke Alif?” Ujar saya kepada pelajar itu. ”Tidak cikgu.” Jawab Alif ringkas.
 
”Kenapa tidak rehat?” Jawab Alif "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin 50 sen ni dapat beli nugget sekeping aje. Malu la cikgu beratur panjang cuma dapat beli nugget je.” Jadi saya kumpul duit hari ini untuk makan hari esok. Jadi saya dapat la makan nugget 50 sen dan minum air sirap 50 sen. Saya di kantin hari Selasa dan Khamis je cikgu " Alif tertunduk malu.
 
Perasaan saya mula bercampur baur, sedih sebak. Di zaman 2013 ini masih ada pelajar yg membawa 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50 sen amat besar ertinya.
 
Saya tanya lagi, kalau hari jumaat awak tak pergi kantin la ye?  Ooh hari jumaat duit 50 sen ni saya sedekah masa bacaan yaasiiiin cikgu. Jawab Alif dengan bersahaja. Mak saya kata kalau kita sedekah rezeki kita akan bertambah.
 
Mata saya dah berkaca... Saya terkejut dan bertambah sebak. Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pulak. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku ini…. luaskan rezeki mereka semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.
 
Huh seperti terpukul sungguh saya, bayangkan duit 50 sen yang diberi untuk makan, dia infakkan (sedekahkan) 50 sen untuk tabung sekolah setiap hari jumaat semasa bacaan yaasiiiin.
 
Mungkin kisah ini nampak ‘simple’ tapi bagi saya ia memberi seribu pengajaran. Mungkin Allah nak temukan saya dengan pelajar ini supaya lebihkan sedekah dan berinfak.
 
Bagaimana pula dgn kita? Mampukah kita istiqomah bersedekah setiap hari jumaat?
 
Har ini Jumaat.  Ayuh kita berazam untuk lebihkan sedekah pada hari yang mulia ini kepada masjid masa solat Jumaat, kaum kerabat yang dalam kesusahan dan untuk fuqarak serta orang miskin. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran di atas keikhlasan anda semua.
 
Sumber dari seorang sahabat yg mengajar di IPG Bangi, barakallahu fiekum ajma'in.

Petikan Dari : Facebook Ustaz Zahazan Mohamed

Thursday 7 March 2013

PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG



PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG

Pandangan Mata Ketika Sembahyang
Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak mengangkat takbiratul ihram sehinggalah selesai sembahyang kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:

1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk kanan tersebut tidak lagi diangkat.

Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan matanya ke arah tempat sujud.

Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.

2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan takut dan pada ketika itu, orang yang bersembahyang itu berhadapan dengan apa yang ditakutinya seperti musuh di dalam situasi peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas hartanya dan sebagainya, maka dalam keadaan ini sunat menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.

3. Tidak disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud jika terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya pada tempat sujud jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hikmah disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat yang sangat mulia.

Pandangan Mata Ketika Sembahyang
- Di Hadapan Atau Di Dalam Ka‘bah
Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-Bulqini Rahimahullah. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullah.

Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ialah sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di dalamnya.

Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sungguhpun tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu. Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-Mawardi Rahimahullah yang mengatakan bahawa sunat menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘ifkan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang
Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang dha‘if.

Maka dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah lebih cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilaf al-awla (menyalahi yang utama).  Ini kerana tidak pernah dikhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Radhiallahu ‘anhum menutup mata mereka ketika sembahyang.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun orang lain.

Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullah pula memfatwakan bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan sebagainya yang boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan ketika sembahyang, maka dalam hal ini adalah lebih utama menutup mata daripada membukanya.

Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada terpandang akan sesuatu yang haram.

Hukum Memandang Ke Arah Langit
Ketika Sembahyang Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas) ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik matanya mahupun orang buta.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika sembahyang !?” Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas sehinggalah Baginda bersabda : “Hendaklah mereka itu berhenti daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan disambar (dibutakan mata mereka).”
(Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah pakaian ataupun sejadah yang memiliki lukisan, gambar dan sebagainya.

SUMBER : PEJABAT MUFTI NEGARA PEJABAT PERDANA MENTERI BRUNEI  DARUSSALAM (BILANGAN 259)