Wednesday 23 January 2013

SELAWAT KE ATAS NABI


SELAWAT KE ATAS NABI


Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan sebagai tanda kecintaan kepada Nabi SAW dan menjadi faktor utama untuk mendapat  syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak.  Sering kali kita dengar dalam khutbah Jumaat khatib selalau ada menyebut bahawa Allah Ta'ala  berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan". [Al-Ahzab: 56]

Makna Selawat
Tahukah anda apakah maksud selawat itu?  Selawat dalam bahasa Arab bererti doa atau pujian. Pengertianya boleh di kategorikan sebagai berikut ;

1). Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
2). Selawat malaikat pula ialah doa memohon tambahan gandaan pahala.
3). Selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

Manakala makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemuliaan dan keberkatan dari-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik dari Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya dari kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

"Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman."  [Al-Ahzab:43].

Hukum Berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya,  tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

Bakhil Kerana Tidak  Selawat
Sabda Nabi SAW: Maksudnya: "Orang Bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat". [HR: Tirmizi. Sahih].

Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Selawat Paling Afdhal
Ayat Quran [Al-Ahzab: 56] di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

Antaranya diriwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.  Baginda menjawab dengan mengatakan ; “Katakanlah :
 Adalah logik untuk dikatakan selawat di atas sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Apa yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

Dalam Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud(tahiyyat) akhir sebelum salam setiap solat.  Adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini diamalkan dalam membaca selawat kepada Nabi SAW, berbanding lafaz selawat yang dikarang atau susunan seseorang, walau pun tiada larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri.

Selawat Paling Ringkas
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih]
“Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.“

Demikianlah beberapa contoh selawat yang mudah untuk diamalkan.  Banyak lagi bentuk susunan selawat yang disebut dalm hadis-hadis sahih yang boleh dirujuk dalam kitab-kitab muktabar dan alim ulama.

Waktu/Tempat Terbaik Untuk Berselawat
1.       Masa paling afdhal dituntut berselawat ialah:
2.       Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
3.       Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
4.       Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
5.       Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
6.       Di akhir qunut dalam solat.
7.       Di dalam solat jenazah.
8.       Ketika masuk dan keluar dari masjid.
9.       Setiap waktu pagi dan petang.
10.  Hari Khamis malam Jumaat.
11.  Sepanjang hari Jumaat.
12.  Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

Semoga ada manfaatnya untuk diamalkan. Wallahua’lam.


"SELAWAT MAULIDUR RASUL"
Sila Klik Pautan Di Bawah Untuk Muaturun

Wednesday 16 January 2013

3 Soalan = 1 Tindakan Ada 3 Jawapan


3 Soalan = 1 Tindakan Ada 3 Jawapan

Alkisah Joe (nama glamor) seorang pemuda kampung yang belajar di luar negara.  Sehabis belajar pulang ke tanahair terasa angkuh dan sombong dah pandai sangat kononnya. Begitu pun di benak kepalanya telah lama tersimpan 3 persoalan yang dia rasakan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya.  Kisah terjadi bila suatu pagi Joe bertemu seorang imam tua di kampungnya.

Joe  : Pak imam apakah boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?
Pak Imam : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan kamu!

Joe   : Pak imam yakin? Profesor dan banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya, insya'Allah.

Joe  : Saya ada 3 soalan

1. Kalau benar Tuhan itu ada, tunjukan kewujudan Tuhan kepada saya?
2. Apakah yang dinamakan TAKDIR?
3. Kalau syaitan diciptakan dari api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama.  Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?

Dengan sepontan dan tidak disangka Pak Imam pun menampar pipi Joe dengan kuat.

Joe  : Aduh ... aduh, sakitnya

Joe (sambil menahan sakit) : Pak imam marah dengan saya ke sebab soalan tu?
Pak Imam : Saya tidak marah

Joe : Habis tu kenapa  Pak Imam  tampar pipi saya, sakit tau ?
Pak Imam : Dah awak soal saya jawablah.

Joe (keliru dan hairan) : Saya amat tidak faham...?
Pak Imam : Tamparan itu adalah jawapan saya untuk 3 soalan yang awak tanyakan tadi.

Joe (semakin bingung) : Makin saya tidak faham...???

Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Joe   : Tentu saja rasa sakit dan pedih...!!

Pak Imam : Jadi awak percaya bahawa sakit itu ada?
Joe  : Ya tentulah ....!

Pak Imam : Tunjukkan pada saya wujudnya sakit itu atau macam mana rupanya?
Joe  : Macam mana nak tunjuk, tak namapak, tak bolehlah pak imam

Pak Imam : Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama awak, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tanpa mampu melihat kewujudanNya.

Pak Imam : Adakah malam tadi awak ada bermimpi atau telah tahu saya akan menampar awak pagi ini?
Joe   : Tidak ada

Pak Imam : Apakah awak pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan dari saya pagi ini?
Joe  : Langsung tidak terfikir pun

Pak Imam : Itulah yang dinamakan TAKDIR!

Pak Imam : Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar awak ini?
Joe   : Ada tulang, daging dan kulit

Pak Imam : Terbuat dari apakah pipi awak itu...?
Joe   : Tulang, daging dan kulit

Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya tadi?
Joe   : Sangat sakit dan pedih, terasa sakit  lagi ni

Pak Imam : Itulah...! Walaupun Syaitan terbuat dari api dan Neraka terbuat dari api, Jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan jadilah ia tempat yang menyakitkan untuk syaitan.... walaupun sama unsur asalnya.

Thursday 3 January 2013

Soal Jawab Solat Berjemaah (4)

Soal Jawab Tentang Solat Berjemaah (4)

10. Solat Sunat Berimamkan Solat Fardhu
Soalan:
Semasa saya sembahyang sunat didatangi oleh seorang menepuk bahu saya, dengan tujuan untuk berimamkan saya untuk sembahyang zuhur, apakah saya perlu beritahu beliau yang saya sembahyang sunat bukannya sembahyang zuhur, dan adakah sembahyang beliau tadi sah atau bagaimana?

Jawapan:
Para ulamak menjelaskan sah seorang yang menunaikan solat fardu bersolat dengan berimamkan orang yang menunaikan solat sunat. Kerana itu tidak  perlu imam yang terlibat membuat sesuatu isyarat supaya ia tidak dijadikan imam oleh orang yang ingin menunaikan solat fardhu itu, kerana ia sedang bersolat sunat. Lihat Fiqh Sunnah oleh Sayyid Sabiq.

11. Berimamkan Pengawal Keselamatan Bank Riba
Soalan:
Saya ada terlihat seorang yang biasa menjadi imam sembahyang berjamaah di surau menjadi pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang ada mengamalkan sistem riba. Apakah hukum makmum yang bermakmum solat dibelakangnya sedangkan dia berkerja di bank yang mengamalkan sistem riba? Saya teringat akan hadith Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang terbabit di dalamnya akan memdapat dosa. Diharap dapat tuan memberi penjelasan supaya tidak ada keraguan.

Jawapan:
Umumnya adalah sah berimamkan dengan ahli maksiat dan imam yang fasik sebagaimana menurut iktikad ahli sunnah Wal-Jamaah. Ini kerana ada beberapa tokoh ulama menunaikan solat di belakang Hajjaj bin Yusuf Ath-Thaqafi di zamannya yang banyak zalim dan membunuh orang dalam sejarahnya. Ini menunjukkan perkara ini adalah dibolehkan dan solat adalah sah.

Yang pentingnya ialah seseorang itu menunaikan solat mencukupi syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama termasuklah mufti negara Arab Saudi dalam fatwa semasa beliau. Walau bagaimanapun jika ada imam yang tidak fasik dan bukan pula ahli maksiat, adalah lebih utama (baik) berimamkan imam ini.

12. Bismillah Sebelum Al-Fatihah
Soalan:
Dalam solat berjemaah lima waktu terdapat tiga waktu yang disunatkan bagi imam membaca dengan suara yang kuat (lantang) iaitu maghrib, isyak dan subuh.

Bagaimanakah hukumnya sembahyang itu, misalnya maghrib apabila imam membaca al-Fatihah tetapi hanya mula membaca dengan lantang dengan ayat yang kedua dari al-Fatihah maksudnya dia hanya membaca dengan lantang bermula dengan ayat Alhamdulillahirabbila'lamin. Saya harap agar ustaz dapat memberi penjelasannya.

Jawapan:
Para ulama berselisih pendapat tentang membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah. Adakah ia dianggap sebahagian dari surah al-Fatihah itu sendiri atau tidak. Bagi imam Asy-Syafii, Bismillah adalah sebahagian dari surah al-fatihah, kerana itu ia hendaklah dibaca bersama al-Fatihah. Jika solat itu solat yang nyaring ia dibaca nyaring oleh imam. Jika solat itu solat yang sembunyi (tidak nyaring), ia hendaklah dibaca secara sembunyi oleh imam.

Ini bermakna berdasarkan pendapat imam Asy-Syafii  membaca bismillah ketika membaca surah al-Fatihah adalah sunat. Sesetengah ulama berpendapat bismillah bukanlah sebahagian dari al-Fatihah dan mereka berselisih pula tentang asal ayat bismillah ini. Walau bagaimanapun jika anda berimamkan imam yang bermazhab Hanafi yang tidak membaca Bismillah sebelum membaca al-Fatihah solat anda tetap sah, kerana mereka yang berpegang dengan mazhab Hanafi sebenarnya membaca Bismillah tetapi secara senyap tidak terang.

Tambahan pula seluruh ulamak berpendapat membaca Bismilah sebelum membaca al-Fatihah adalah sunat cuma teknik pelaksanaannya sahaja yang mereka perselisihkan iaitu samada dengan terang atau tidak terang.